Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 18 tahun ditahan di bawah ISA rancang serang beberapa sasaran di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pelajar warga Singapura berusia 18 tahun, yang merupakan penyokong ISIS, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ini setelah dia merancang untuk menyerang beberapa sasaran di Singapura termasuk sebuah kem tentera dan tapak perkuburan di sebuah masjid.

Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor menjadi radikal secara sendiri menerusi propaganda online dan berniat melakukan perjalanan ke luar negara untuk melibatkan diri dalam keganasan bersenjata.

Dia bertindak sendirian dan tiada tanda-tanda bahawa dia berjaya melibatkan orang lain atau menjadikan orang lain radikal, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Rabu (1 Feb).

Irfan, yang ditahan pada Disember, berada dalam pemantauan pihak berkuasa, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.

Pelajar pos-menengah itu mula menonton video-video di YouTube pada 2020 oleh pendakwah asing ekstrem, Zakir Naik, yang diharamkan daripada memasuki Singapura sejak 2014.

Dia juga mengambil bahagian dalam perbincangan di platform-platform media sosial yang mendedahkannya kepada propaganda ISIS.

Pada 9 Ogos tahun lalu - Hari Kebangsaan Singapura - Irfan memacak bendera buatan sendiri berdasarkan bendera kumpulan pengganas yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham, di Pulau Coney.

Dia mendakwa perbuatan itu melambangkan permulaan khilafahnya sendiri, yang dinamakan "Negara Islam Singhafura".

Pada hari yang sama, dia memuat naik gambar-gambar bendera tersebut di akaun media sosialnya sambil menggalakkan orang lain untuk menyertai khilafahnya.
Irfan memacak bendera buatan sendiri berdasarkan bendera kumpulan pengganas yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham, di Pulau Coney. (Gambar: ISD)
Gambar: ISD
Pada Oktober, dia yakin bahawa ISIS adalah sah dan memutuskan untuk melakukan perjalanan ke luar negara bagi keganasan bersenjata.

RANCANGAN SERANGAN DI SINGAPURA

Sebelum dia dapat pergi ke luar negara, Irfan membeli sebilah pisau dari sebuah kedai runcit pada Ogos tahun lalu.

Menurut ISD, rancangannya adalah untuk menikam dan membunuh individu-individu yang dianggap "kafir" di lorong-lorong yang gelap dan mengambil barangan peribadi mereka sebagai rampasan perang untuk tentera pengganasnya. Golongan "kafir", menurut pandangannya, termasuk mereka yang bukan Muslim, Muslim Shia dan Muslim Sufi.

Irfan juga mempunyai rancangan untuk melaksanakan serangan secara besar-besaran terhadap Kem Amoy Quee di Ang Mo Kio, tempat ibu pejabat Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).

Mendapat ilham daripada video-video yang menunjukkan insiden-insiden bom kereta, Irfan mahu mendapatkan seorang pengebom nekad, yang boleh melaksanakan serangan tersebut di pintu kem tersebut.

ISD menyatakan bahawa dia ingin memimpin kumpulan tenteranya untuk menyerang pengawal-pengawal lain di pintu tersebut menggunakan senjata-senjata seperti kapak dan pisau, dan mencuri senjata api dari rumah pengawal.

Satu lagi rancangan yang dipertimbangkannya adalah serangan bom di Keramat Habib Noh, sebuah tapak kubur di Masjid Haji Muhammad Salleh, yang dipercainya sebagai "tidak selaras dengan Islam".

Irfan memuat turun manual online untuk membuat bom, untuk dijadikan rujukan bagi membina bahan letupan buatan sendiri bagi meratakan kubur tersebut.

Ketika Irfan diberkas, rancangan Irfan terhadap kem Amoy Quee dan Keramat Habib Noh belum sampai ke tahap pembentukan idea itu.

Dengan kes Irfan, kini sembilan belia warga Singapura - berusia 20 tahun ke bawah - sudah ditahan atau diberi perintah sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sejak 2015.

PENILAIAN ANCAMAN

Menjawab pertanyaan mengenai tempoh yang diambil ISD untuk mengambil tindakan terhadap Irfan, Encik Shanmugam berkata: "Sebelum anda menahan seseorang, anda melaksanakan penilaian dengan teliti terhadap ancaman keselamatan yang ditimbulkan orang tersebut. Juga, tahap campur tangan yang diperlukan. Apabila dia dinilai untuk menimbulkan ancaman keselamatan yang dijangka berlaku, dia terpaksa ditahan."

ISD mendedahkan bahawa anggota keluarga Irfan tidak menyedari tentang rancangan serangannya atau hasratnya untuk melakukan keganasan di luar negara.

"Seorang kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan memberi bimbingan kepada Irfan, mendidiknya mengenai Islam," kata Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa ISD juga sudah membuat aturan dengan sekolah remaja itu untuk membolehkannya meneruskan pendidikannya dan supaya dia dapat menduduki peperiksaan ketika ditahan.

ISD juga mengumumkan pada Rabu bahawa seorang warga Singapura, Imran Mahmood sudah dibebaskan daripada tahanan dan diletakkan di bawah perintah sekatan pada Januari. Dia ditahan di bawah ISA pada 2019 kerana mempunyai niat untuk melakukan perjalanan ke Syria untuk berperang bersama ISIS.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan