Remaja 18 tahun dikenakan latihan pemulihan kerana curi S$2 dari lelaki mabuk
Seorang remaja yang mencuri wang S$2 daripada seorang lelaki mabuk di sebuah dewan serbaguna dijatuhi latihan pemulihan enam bulan pada Isnin (17 Feb).
Gambar sekeping nota wang S$2.
SINGAPURA: Seorang remaja yang mencuri wang S$2 daripada seorang lelaki mabuk di sebuah dewan serbaguna dijatuhi latihan pemulihan enam bulan pada Isnin (17 Feb).
Ini berlaku seminggu setelah rakan subahatnya dikenakan hukuman pemulihan selama setahun di sebuah pusat latihan pemulihan kerana turut terbabit dalam pencurian itu.
Muhammad Faizal Johan, 18 tahun, mengaku bersalah bagi satu tuduhan mencuri dengan niat yang sama.
Mahkamah diberitahu dia bertemu dua rakannya - Mohamad Iqbal Sali dan Syauqi Syiraz Mohamed Ali - di sebuah dewan serbaguna di Blok 68 Circuit Road pada jam 1.00 pagi, tanggal 18 Ogos tahun lalu. Mereka berjumpa untuk bermain gitar dan melepak, kata Pegawai Pendakwa Raya Negara S Krishnan.
Mereka ternampak mangsa, seorang lelaki berusia 63 tahun, terbaring di lantai dengan beg di sebelahnya. Lelaki itu kelihatan mabuk dan Syauqi mencadangkan mereka mencuri barang dari beg beliau.
Dua rakan Syauqi itu bersetuju dan menghampiri mangsa sementara Syauqi berdiri di satu sudut berdekatan untuk berjaga-jaga.
Mangsa terlena dengan sekelip mata dan Faizal membuka zip beg beliau lalu menggeledah barangnya. Iqbal mengambil dompet dari beg itu dan mencuri S$2 daripadanya.
Mahkamah diberitahu seorang wanita dan saudara-maranya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah apabila mereka terlihat sekumpulan lelaki itu menggeledah beg mangsa.
Salah seorang daripada mereka memekik ke arah lelaki-lelaki itu dan mereka melarikan diri. Wanita berkenaan kemudian menghubungi polis dan semua tindakan lelaki-lelaki itu dirakamkan oleh kamera polis di dewan tersebut.
Ketiga-tiga remaja lelaki itu diberkas beberapa jam kemudian tetapi wang S$2 yang dicuri tidak dapat dijumpa, menurut dokumen mahkamah.
Pendakwa raya itu berkata satu laporan menyarankan latihan pemulihan untuk Faizal dan berkata dia tidak membantah perkara itu.
Faizal, yang tidak diwakili peguam, berkata beliau mahu merayu bagi hukuman ringan. Apabila diberitahu bahawa dia sebelum ini diletakkan dalam probesyen dan melanggar syarat, Faizal berkata: "Tidak, tetapi itu adalah masa lalu."
Faizal sebelum ini dikenakan probesyen 15 bulan pada Julai 2018 bagi kesalahan termasuk menceroboh sebuah pejabat naik taraf HDB, mencuri rokok dari sebuah kedai 7-Eleven dan satu paket kerepek kentang Calbee Hot & Spicy potato chips dari sebuah kedai lain.
Rakan tertuduh, Iqbal, yang berdepan dakwaan lain, dikenakan latihan pemulihan setahun pada minggu lalu.
Bagi mencuri dengan niat sama, kedua-dua remaja lelaki itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.