Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 18 tahun dihukum probesen 27 bulan, tipu Foodpanda S$15,500 & Gojek S$500

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang melakukan beberapa siri penipuan termasuk menipu syarikat penghantaran makanan Foodpanda sebanyak S$15,000 dengan mendakwa tempahannya tidak dipenuhi, pada Rabu (3 Nov) dijatuhi hukuman probesen selama dua tahun dan tiga bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 18 tahun dihukum probesen 27 bulan, tipu Foodpanda S$15,500 & Gojek S$500

Gambar fail seorang penghantar makanan Foodpanda menunggang basikal (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang melakukan beberapa siri penipuan termasuk menipu syarikat penghantaran makanan Foodpanda sebanyak S$15,000 dengan mendakwa tempahannya tidak dipenuhi dan dia menerima bayaran balik daripada mereka, pada Rabu (3 Nov) dijatuhi hukuman probesen selama dua tahun dan tiga bulan.

Dia juga menipu dua lelaki lebih S$3,000 melalui iklan palsu online bagi khidmat seks dan menipu syarikat khidmat sewa kereta Gojek sebanyak sekitar S$500.

Sebagai sebahagian daripada syarat probesennya, dia tidak boleh keluar rumah dari pukul 10.00 malam hingga 6.00 pagi, perlu melakukan khidmat kemasyarakatan selama 80 jam dan menghadiri semakan mahkamah dalam masa lima bulan di hadapan Hakim Daerah Kessler Soh.

Hakim juga mengarahkan supaya dia diletakkan di bawah skim pemantauan elektronik selama enam bulan atau sehingga dia dikerahkan bagi Perkhidmatan Negara.

Ibu bapanya membayar ikat jamin S$5,000 bagi memastikan kelakuannya baik semasa tempoh probesen.

Dia mengaku bersalah pada September atas empat tuduhan menipu dan mengakses sebuah program komputer untuk melakukan penipuan. Lagi lima tuduhan serupa dipertimbangkan dalam menentukan hukuman.

Nama remaja itu tidak boleh didedahkan kerana beberapa kesalahan dilakukan ketika di bawah usia 18 tahun. Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda melarang identiti pesalah bawah umur didedahkan.

Hukuman probesen tidak membawa kepada rekod jenayah dan membolehkan para pesalah muda untuk meneruskan dengan pendidikan atau pekerjaan masing-masing ketika menjalani hukuman.

Dia tidak dikenakan hukuman latihan pemulihan, iaitu program pemulihan sangat tegas bagi mereka yang di bawah usia 21 tahun, yang melakukan kesalahan agak serius - setelah hakim meminta laporan untuk menilai sama ada dia layak bagi hukumen tersebut.

APA YANG DIA LAKUKAN

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa pada Januari tahun lalu, remaja itu merancang satu skim untuk menipu Foodpanda dengan membuat tempahan makanan ke rumahnya di Jurong West.

Setelah menerima makanan yang ditempah, dia menghubungi talian khidmat pelanggan Foodpanda dan mendakwa dia tidak menerima makanan tersebut, lalu syarikat itu memberi bayaran balik kepadanya.

Namun sejak April tahun lalu, dia membuat tempahan barangan dapur dan minuman keras dari Foodpanda dan menuntut bayaran balik bagi pembeliannya itu.

Dia meneruskan dengan helahnya itu sebanyak 81 kali dari Januari hingga Ogos tahun lalu dan berjaya mengelak dikesan dengan menggunakan 58 alamat emel dan nombor telefon yang berlainan.

Dia makan dan menggunakan kesemua barangan dapur yang ditempah dan meraih sekitar S$1,000 hingga S$2,000 menerusi penjualan semula minuman keras yang sudah ditempah dalam kumpulan sembang Telegram dan wadah penjualan online Carousell.

Seorang pengurus pendampingan kumpulan dari Foodpanda membuat aduan polis pada 21 Ogos tahun lalu setelah menerima maklum balas daripada para pekerja tentang kemungkinan skim penipuan pengembalian wang.

Secara berasingan sekitar tempoh yang sama, remaja itu mendapat tahu bahawa dia boleh membuat pendaftaran bagi akaun Gojek dan menempah perjalanan menerusi aplikasi mudah alih DBS PayLah.

Untuk mendapatkan "perjalanan percuma", dia boleh membatalkan PayLah sebagai mod bayaran dan menukar nombor telefonnya kepada nombor telefon luar negara supaya dia tidak akan dikenakan bayaran bagi perjalanan yang diambil.

Remaja itu berjaya menempah 25 perjalanan berharga S$576 untuk dirinya dan teman-temannya menggunakan kaedah itu dari 19 September hingga 21 September tahun lalu.

Setiap kali Gojek menyekat akaunnya, dia akan membuka akaun baru menggunakan alamat emel dan nombor telefon yang baru.

Pengurus keselamatan dan kepercayaan Gojek membuat aduan polis sambil menyatakan bahawa ia mengesan lonjakan dalam tunggakan bayaran PayLah, terutama sekali yang berkaitan dengan nombor telefon tertentu.

Secara berasingan, remaja itu menghubungi teman sekelasnya dari Institut Pendidikan Teknikal pada Februari tahun lalu untuk bertanya jika beliau berminat mendapatkan wang tunai dengan cepat.

Dia mendakwa bahawa dia menjual barangan menerusi online dan meminta butiran akaun bank temannya supaya "para pelanggan" boleh memindahkan wang ke dalamnya.

Teman remaja itu bersetuju dengan aturan itu dan dia menyimpan lima peratus daripada jumlah yang diterima sebagai bayaran komisen.

Tertuduh kemudian membuka akaun di laman pengiklanan Locanto dan mendakwa dirinya adalah seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang bernama Celine yang boleh menawarkan khidmat seks dengan bayaran tunai.

Seorang mangsa berusia 27 tahun kemudian menghubungi Celine di Telegram dan berkata bahawa beliau berminat untuk menjadi teman Celine dengan manfaat seks.

Sambil berpura-pura menjadi Celine, tertuduh menyuruh mangsa untuk membayar wang cengkeram sebanyak S$100 sebelum membuat rancangan untuk berjumpa. Tertuduh kemudian meminta lebih banyak bayaran untuk barang-barangan seperti kondom dan pil pencegah kehamilan.

Mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak S$2,186 secara keseluruhan sebelum beliau menjadi curiga lalu membuat aduan polis.

Polis membekukan akaun bank tersebut dan menghubungi teman sekelas tertuduh bagi soal siasat.

Apabila teman sekelasnya menghubungi tertuduh, dia mengaku bahawa dia sedang menjalankan skim penipuan dan memberitahu rakannya itu supaya berbohong kepada polis bahawa dia dikerahkan oleh seorang individu tidak dikenali melalui Telegram.

Beberapa bulan selepas akaunnya tidak lagi dibekukan pada Jun tahun lalu, tertuduh menghubungi rakan sekelasnya sekali lagi, untuk bertanya jika dia berminat menjalankan skim penipuan itu bersama-sama, kali ini dengan bayaran komisen 20 peratus.

Tertuduh kemudian membuka satu lagi akaun Locanto menggunakan nama Tricia dan menipu seorang lelaki berusia 22 tahun untuk memindahkan wang sekitar S$1,250 untuk mendapatkan khidmat seks.

Mangsa membuat aduan polis pada November tahun lalu.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan