Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 17 tahun mengaku letak pena berkamera dalam tandas pelajar perempuan

Dengan menggunakan pita pelekat dua muka, seorang remaja meletakkan sebatang pena yang dipasang kamera lubang jarum atau 'pinhole camera' dalam tandas pelajar perempuan di sekolahnya, dengan niat untuk merakam video rakan-rakan sekolahnya sedang menggunakan tandas.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 17 tahun mengaku letak pena berkamera dalam tandas pelajar perempuan

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 17 Nov 2021 08:20PM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 08:21PM

SINGAPURA: Dengan menggunakan pita pelekat dua muka, seorang remaja meletakkan sebatang pena yang dipasang kamera lubang jarum atau 'pinhole camera' dalam tandas pelajar perempuan di sekolahnya, dengan niat untuk merakam video rakan-rakan sekolahnya sedang menggunakan tandas.

Namun, muslihatnya terbongkar apabila salah seorang mangsa ternampak pena itu di atas pintu tandas dengan kamera lubang jarum pada pena tersebut setelah meneliti objek itu.

Pesalah berusia 17 tahun itu, yang tidak boleh didedahkan identitinya kerana dia berusia bawah 18 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan mengintai pada Rabu (17 Nov). Lagi dua tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Identiti para mangsa dan nama sekolah erbabit juga tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Mahkamah diberitahu bahawa remaja itu memasuki tandas pelajar perempuan di tingkat tiga bangunan sekolah tersebut pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari pada 19 Ogos tahun lalu.

Dia meletakkan sebatang pena berwarna hitam yang dilengkapi dengan kamera lubang jarum di atas salah satu pintu tandas menggunakan pita pelekat dua muka.

Dia kemudian menghalakan kamera itu ke arah tandas dengan niat untuk merakam video rakan-rakan perempuannya sedang menggunakan tandas.

Dia merancang untuk mengambil semula pena itu pada keesokan hari bagi menonton rakaman tersebut.

Pada sebelah petang hari yang sama, seorang pelajar perempuan memasuki tandas berkenaan dan kamera itu merakam pelajar tersebut sedang menggunakan tandas.

Ketika keluar dari tandas, mangsa ternampak pena itu di atas pintu tandas.

Menganggapnya sebagai sesuatu yang mencurigakan, mangsa kemudian meneliti pena itu dan ternampak kamera lubang jarum dipasang pada pena tersebut dan kad SD di dalamnya.

Mangsa mengambil pena itu lalu menyerahkannya kepada naib pengetua sekolah. Guru disiplin sekolah membuat aduan polis dua hari kemudian.

Siasatan menunjukkan bahawa pesalah turut merakam video bawah skirt sebilangan wanita di stesen-stesen kereta api dengan menggunakan telefon bimbitnya.

Dia berbuat demikian ketika menaiki tangga bergerak di belakang mangsa yang memakai skirt.

Dia merakam satu video seumpama itu pada 13 Ogos 2020 dan kemudian menghantar video tersebut bersama dengan dua petikan skrin video kepada seorang rakan sedarjah.

Pihak pendakwa tidak menolak permintaan bagi mendapatkan laporan sama ada tertuduh boleh dikenakan probesen dan pihak pendakwa yang turut menarik perhatian kepada usia remaja itu menegaskan bahawa dia tidak mengambil atau menonton rakaman daripada pena tersebut.

Hakim meminta laporan kesesuaian probesen bagi remaja itu. Dia akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada Disember untuk dijatuhkan hukuman.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan