Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 17 tahun mengaku bersalah pancing secara haram, langgar peraturan COVID-19

Seorang remaja berusia 17 tahun meminta maaf di mahkamah hari ini (9 Dis) setelah mengaku bersalah memancing secara haram di Taman Bukit Batok tahun ini dan melanggar peraturan jarak selamat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 17 tahun mengaku bersalah pancing secara haram, langgar peraturan COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 04:47PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 04:50PM

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 17 tahun meminta maaf di mahkamah hari ini (9 Dis) setelah mengaku bersalah memancing secara haram di Taman Bukit Batok tahun ini dan melanggar peraturan jarak selamat COVID-19.

Ibu bapa remaja itu sebelum ini membayar denda S$300 kerana remaja itu berkumpul dengan beberapa individu di taman tersebut.

Namun, beberapa minggu selepas itu remaja berkenaan kembali ke tempat tersebut bersama beberapa orang teman dan dia didakwa di mahkamah.

Identiti remaja itu tidak boleh didedahkan kerana undang-undang Singapura melarang identiti pesalah muda yang berusia bawah 18 tahun daripada didedahkan.

Dia mengaku bersalah kerana gagal menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter daripada satu lagi kumpulan seramai tujuh individu dan juga bagi kesalahan memancing di sebuah taman awam tanpa kebenaran.

Mahkamah akan menimbangkan lagi tiga tuduhan serupa, termasuk tidak memakai pelitup dengan betul, semasa perbicaraan pada 21 Januari tahun depan.

Timbalan Pendakwa Raya Huo Jiongrui memberitahu mahkamah bahawa remaja itu membayar denda pada 31 Mei kerana melanggar peraturan COVID-19 dengan berkumpul di Taman Bukit Batok, yang juga dikenali sebagai 'Little Guilin'.

Dokumen-dokumen mahkamah bagaimanapun mendedahkan bahawa remaja itu kembali ke tempat yang sama pada pagi 2 Jun untuk memancing dengan lima orang individu. Pada ketika itu, hanya dua orang sekumpulan dibenarkan di tempat-tempat awam bagi membendung penularan COVID-19.

Remaja itu pergi ke tempat yang sama dua minggu kemudian, apabila sekatan dilonggarkan dan sehingga lima orang dibenarkan dalam satu kumpulan.

Sekitar pukul 3.00 pagi pada 16 Jun, para pegawai polis memerhatikan remaja itu bersama empat lagi individu yang sedang berdiri bersebelahan sekumpulan seramai tujuh individu.

Para individu daripada kedua-dua kumpulan itu saling bergaul dan tidak memakai pelitup.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada individu yang lain sudahpun dikenakan tindakan.

Hari ini, Hakim Daerah May Mesenas memohon bagi laporan untuk menilai sama ada remaja itu sesuai untuk menjalani probesen, yang lazimnya ditawarkan kepada pesalah pertama yang berusia antara 16 dengan 21 tahun.

Setelah remaja itu meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan, hakim bertanya jika ibu bapanya maklum bahawa dia keluar rumah lewat malam dan menegurnya kerana tidak mengambil serius peraturan COVID-19.

Apabila remaja itu katakan bahawa ibu bapanya menyedari hal itu lalu dia meminta maaf sekali lagi, Hakim Daerah Mesenas berkata: "Senang sahaja untuk minta maaf. Apa yang anda rancang untuk lakukan? Adakah anda tahu apakah itu probesen? Terdapat perintah berkurung yang ketat yang akan dilaksanakan oleh ibu bapa anda. Jika anda tidak berminat, terdapat beberapa pilihan yang lain.

"(Jika) anda ingin berseronok dengan teman-teman anda namun tidak berhati-hati, anda menimbulkan risiko terhadap orang lain - bukan sahaja diri anda tetapi orang lain," katanya.

Remaja itu kemudian memberitahu hakim bahawa dia berhenti daripada pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) baru-baru ini dan ingin menjalani Perkhidmatan Negara.

Dia kemudian menambah bahawa ibu bapanya menyuruh supaya dia kembali ke sekolah. Hakim menasihatkan remaja itu supaya membincangkan hal tersebut dengan ibu bapanya dalam beberapa minggu akan datang.

Pesalah dewasa yang melanggar peraturan COVID-19 boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. Mereka yang memancing secara haram boleh dikenakan denda sehingga S$5,000.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan