Remaja 17 tahun didakwa miliki vape dengan bahan ganja
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di mahkamah pada Rabu (3 Sep) kerana memiliki alat vape yang mengandungi bahan berkaitan ganja pada Februari.
Gambar fail vape. (Gambar: Reuters/Sandra Sanders)
Remaja itu juga dituduh mengedar methamphetamine, ganja, ketamine dan beberapa dadah lain bersama seorang lagi remaja lelaki yang juga berusia 17 tahun pada ketika itu.
Remaja kedua itu kini berusia 18 tahun.
Kedua-dua remaja itu yang merupakan rakyat Singapura, tidak boleh didedahkan identiti mereka.
Mereka yang didakwa terlibat dalam kesalahan sebelum berusia 18 tahun dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.
Remaja pertama itu dikenakan dua tuduhan berkaitan vape dan lima tuduhan mengedar dadah pada Rabu.
Pada 18 Februari lalu, kedua-dua remaja lelaki itu ditemui di hadapan Blok 94 Toa Payoh Lorong 4, dipercayai bersama dadah yang digunakan bagi tujuan pengedaran, menurut dokumen mahkamah.
Mereka juga didakwa mempunyai 25 paket "bahan sayuran" yang mengandungi 31.33 gram ganja dan dua paket mengandungi 26.29 gram methamphetamine.
Kedua-dua remaja itu juga dipercayai mempunyai 85 pil mengandungi nimetazepam, sejenis ubat penenang, bersama mereka.
Pada sebelah malam, remaja yang pertama itu ditemui di Blok 744 Jurong West St 73, dipercayai dengan vape yang mengandungi bahan berkaitan ganja.
Dia dijangka mengaku bersalah pada 13 Oktober manakala remaja yang kedua akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 8 September.
Pada 1 September, Singapura melancarkan beberapa langkah lebih tegas terhadap pengguna vape.
Para pesalah kali pertama berusia bawah 18 tahun kini boleh dikenakan denda lebih tinggi sebanyak S$500, manakala mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas boleh didenda S$700.
Bagi kesalahan kali kedua, individu itu perlu menjalani program pemulihan selama tiga bulan, terdiri daripada enam sesi.
Mereka boleh didakwa jika mereka gagal menyelesaikan program itu.
Bagi kesalahan kali ketiga atau seterusnya, para pesalah akan didakwa di mahkamah di bawah Akta (Kawalan Iklan dan Jualan) Tembakau dan boleh didenda sehingga S$2,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.