Remaja 17 tahun didakwa ceroboh landasan MRT Laluan Timur-Barat
Seorang remaja lelaki didakwa pada Khamis (3 Jul) atas tuduhan menceroboh landasan MRT yang sedang beroperasi di Laluan Timur-Barat(EWL) pada malam 27 Mac.
Gambar fail kereta api SMRT. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Warga Singapura berusia 17 tahun itu tidak boleh dinamakan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana dia berusia bawah 18 tahun pada masa kesalahan itu dilakukan.
Dia dikenakan dua tuduhan yang dikaitkan dengan insiden itu: Pertama, sengaja membahayakan keselamatan para penumpang di bawah Akta Sistem Gerak Cepat, dan kerana melakukan pencerobohan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia mula menceroboh kira-kira pukul 8.20 malam pada 27 Mac di Upper Changi Road. Kawasan itu terletak di bawah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Dia kemudian memanjat sebuah perancah dan mengakses landasan MRT semasa waktu operasi, menurut kertas pertuduhan.
Tidak lama selepas itu, dia dipercayai menceroboh landasan MRT antara stesen Simei dan Tanah Merah, sehingga membahayakan keselamatan orang ramai yang melalui landasan itu.
Dia direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan perubatan dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada akhir bulan ini.
Polis menyatakan dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa pihaknya telah menerima aduan mengenai kejadian itu pada 10 Jun.
Para pegawai polis mengenal pasti identiti remaja itu dan memberkasnya pada 1 Julai.
Selepas polis mengenal pasti tempat masuk remaja itu, LTA mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan langkah keselamatan di lokasi tersebut bagi mengelak kejadian serupa berulang, kata polis.
Jika sabit kesalahan, remaja itu boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.
Jika disabitkan dengan kesalahan sengaja membahayakan keselamatan orang ramai di landasan MRT, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.