Skip to main content

Singapura

Remaja 17 tahun antara tiga individu disyaki edar Kpod

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Sabtu (4 Okt) mendakwa tiga individu yang disyaki membekalkan Kpod, salah seorang daripadanya berusia 17 tahun.

Remaja perempuan tersebut tidak boleh dinamakan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana berumur bawah 18 tahun.

Dua individu lain ialah: Vernette Heng Cui Teng, 23 tahun, dan Amir Shah Anwar Shah, 27 tahun.

HSA menyatakan pihaknya menjejaki dua pembekal wanita terbabit selepas menyiasat seorang pengguna etomidate lelaki yang tidak dinamakan pada 2 Oktober.

HSA merampas 16 alat pengewap elektronik dan komponen berkaitan yang disyaki mengandungi etomidate dari rumah remaja berusia 17 tahun. Sebanyak 64 vape dan komponen berkaitan turut dirampas dari rumah Heng.

Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan Amir, yang disyaki membekalkan Kpod kepada gadis berusia 17 tahun berkenaan, serta seorang lagi wanita yang turut menyalah guna etomidate. Kedua-duanya dipercayai mendapatkan Kpod itu melalui Telegram.

Ketiga-tiga individu masing-masing dikenakan satu tuduhan mengedar pod etomidate.

Suspek remaja juga didakwa memiliki empat Kpod untuk diedarkan, di sebuah flat di Jurong West pada 2 Oktober.

Heng pula didakwa memiliki satu Kpod yang dipercayai untuk diedarkan di sebuah flat di Ang Mo Kio pada 28 Sep.

Selain itu, Amir didakwa mengedar dua pod etomidate kepada seorang wanita pada harga S$150 di 223 Rangoon Road pada 2 Oktober.

HSA menyatakan bahawa dua penyalah guna etomidate yang tidak dinamakan turut didenda di tempat kejadian.

HSA menambah pihaknya memandang serius kesalahan sedemikian, dengan pengimport, penjual dan pengedar pengewap elektronik etomidate berdepan hukuman lebih berat.

Ini termasuk hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun, dan antara lima hingga 15 sebatan rotan bagi kesalahan mengimport. Pengedar dan penjual pula berdepan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan antara dua hingga lima sebatan.

Kes ketiga-tiga suspek sudah ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Antara syarat jaminan untuk remaja berusia 17 tahun itu adalah dia perlu terus bersekolah.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita