Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 17 tahun antara 63 suspek diberkas dalam serbuan CNB

Seorang remaja 17 tahun antara 63 individu disyaki pesalah dadah yang diberkas dalam siri serbuan minggu ini, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini (10 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 17 tahun antara 63 suspek diberkas dalam serbuan CNB

Straw yang mengandungi heroin dan pelbagai peralatan dadah dirampas di Ang Mo Kio Street 22 dalam satu operasi CNB pada 8 Dis 2021. (Ihsan: CNB)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 06:22PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 06:27PM

SINGAPURA: Seorang remaja 17 tahun antara 63 individu disyaki pesalah dadah yang diberkas dalam siri serbuan minggu ini, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini (10 Dis).

Remaja lelaki itu adalah yang paling muda diberkas dalam operasi tiga hari dari 8 hingga 10 Disember.

Pihak berkuasa turut merampas barang seludup dengan nilai anggaran lebih S$70,500. Dadah yang disita termasuk heroin, Ice, kanabis dan ketamine.

Salah satu serbuan dijalankan berhampiran Ang Mo Kio Street 22 pada 8 Disember, di mana seorang lelaki 59 tahun diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan pengedaran dadah.

Selain pelbagai peralatan dadah, 12 bungkus dan 107 straw yang mengandungi 195 gram heroin dirampas setelah kawasan itu digeledah.

Seorang lelaki lain berusia 61 tahun kemudian ditangkap di kawasan yang sama kerana disyaki menyalahgunakan dadah, menurut CNB.

Dalam satu serbuan berasingan pada hari yang sama, para pegawai CNB dan polis memberkas seorang lelaki 27 tahun dan seorang wanita 23 tahun di sebuah bilik hotel berdekatan Balestier Road.

Sebelas bungkus mengandungi sekitar 54 gram Ice, 13 ketulan dan empat bungkus yang mengandungi sekitar 700 gram kanabis serta satu setem lysergic acid diethylamide (LSD) ditemui dalam bilik tersebut dan disita, selain pelbagai peralatan dadah yang lain dan juga wang tunai S$8,000.

Dua lelaki, berusia 24 dan 26 tahun, juga kemudian diberkas di hotel yang sama dalam operasi berkaitan.

Sebanyak 13 bungkus mengandungi 149 gram Ice, pelbagai peralatan dadah dan wang tunai S$5,841 dirampas daripada lelaki 26 tahun berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu kemudian dibawa ke tempat meletak kereta hotel itu, di mana kenderaan mereka dibongkar, menurut CNB lagi.

Tujuh bungkus mengandungi sekitar 53 gram Ice dan pelbagai perlengkapan dadah disita daripada kenderaan yang dimiliki lelaki berusia 24 tahun. Bungkusan mengandungi sekitar 34 gram kanabis juga dirampas daripada kenderaan lelaki berusia 26 tahun.

Kawasan Clementi, Hougang dan Punggol juga disertakan dalam operasi berkenaan.

"Siasatan ke atas kegiatan dadah kesemua suspek masih dijalankan," tambah CNB.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan