Remaja 16 tahun dalam keadaan baik setelah salah diberikan vaksin Moderna
Seorang remaja berusia 16 tahun diberikan secara salah dos pertama vaksin Moderna dan bukan vaksin Pfizer-BioNTech yang diluluskan bagi kumpulan usianya. Kejadian itu berlaku pada Khamis (3 Jun).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Seorang remaja berusia 16 tahun diberikan secara salah dos pertama vaksin Moderna dan bukan vaksin Pfizer-BioNTech yang diluluskan bagi kumpulan usianya. Kejadian itu berlaku pada Khamis (3 Jun), iaitu pada hari pertama program vaksinasi negara diperluaskan kepada sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.
Dalam kenyataan media bersama pada Jumaat (4 Jun), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa remaja itu "diberikan secara salah" vaksin Moderna di pusat vaksinasi yang terletak di Kelab Masyarakat Kolam Ayer.
Ia dikesan setelah kakitangan di pusat vaksinasi tersebut mendapat tahu bahawa remaja lelaki itu berusia bawah 18 tahun semasa tempoh pemantauan selepas divaksin.
"Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, remaja itu diletakkan di bawah tempoh pemantauan lebih lama iaitu selama 50 minit, dan beliau berada dalam keadaan baik," menurut kedua-dua kementerian tersebut.
Berdasarkan maklumat di laman MOH, pusat vaksinasi di Kelab Masyarakat Kolam Ayer hanya menawarkan vaksin Moderna.
Siasatan mendapati tarikh lahir remaja berkenaan salah dimasukkan semasa membuat pendaftaran bagi janji temu vaksinasi setelah menerima pautan untuk berbuat demikian.
"Ini mengakibatkan usianya didaftarkan secara tidak betul sebagai berusia 18 tahun ke atas, lantas membolehkan pusat vaksinasi Moderna dijadikan sebagai salah satu pilihan," menurut kedua-dua kementerian itu.
"Kakitangan pusat vaksinasi gagal mengesahkan usia remaja itu semasa pendaftaran, yang sepatutnya dilakukan."
Para individu berusia bawah 18 tahun hanya ditawarkan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, berdasarkan kelulusan kesesuaian perubatan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi vaksin-vaksin tersebut.
Para individu berusia 18 tahun dan ke atas boleh memilih antara vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna.
Dalam kenyataannya, MOH dan MOE menyatakan bahawa keselamatan mereka yang menerima vaksin adalah keutamaan nombor satu dan mereka perlu "memandang serius terhadap kejadian ini".
"Kami mohon maaf atas kesulitan dan kegelisahan yang dialami, dan telah menghubungi ibu bapa remaja berkenaan untuk menjelaskan tentang situasi tersebut," menurut kedua-dua kementerian itu.
"Satu semakan menyeluruh terhadap proses dalaman di pusat-pusat vaksinasi telah dijalankan oleh MOH bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
"Ini termasuk mengukuhkan proses pendaftaran online bagi memastikan para individu membuat janji temu di pusat vaksinasi yang sesuai berdasarkan kelayakan mereka, serta menetapkan protokol yang lebih ketat di pusat-pusat vaksinasi kami untuk mengesahkan kelayakan," menurut MOH dan MOE.
"Kami sedang berhubungan dengan individu berkenaan dan keluarganya, dan akan terus memantau kesihatannya dengan teliti dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya."
Dalam satu kenyataan berasingan, jawatankuasa pakar bagi vaksinasi COVID-19 menyatakan ia meneliti semula kejadian itu dan tidak "menjangkakan sebarang isu keselamatan daripada pemberian vaksin COVID-19 Moderna" dalam hal itu.
"Pasukan perubatan akan berunding dengan jawatankuasa pakar tentang langkah yang terbaik bagi remaja itu dalam menyelesaikan vaksinasinya," tambah kenyataan tersebut.
Ia menarik perhatian bahawa data daripada satu uji cuba melibatkan lebih daripada 3,700 remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapati bahawa vaksin COVID-19 Moderna adalah "selamat dan berkesan dalam kalangan remaja dengan tiada isu keselamatan yang ketara dikenal pasti".
"Sebilangan besar kesan sampingan yang dialami adalah ringan atau sederhana, dan yang lazim dialami adalah rasa sengal pada tempat disuntik vaksin, pening, keletihan, sakit otot dan rasa seram sejuk," menurut jawatankuasa itu.
"(Kami) akan terus memantau bukti global dan perkembangan vaksin-vaksin COVID-19 dengan teliti, secara khusus data-data baru mengenai keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin bagi kumpulan penduduk, sedang lebih ramai orang divaksin di seluruh dunia dan dalam negeri," tambah kenyataan itu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.