Remaja 16 tahun antara 5 orang ditahan, disyaki terlibat dalam kes penipuan
Lima suspek berusia antara 16 dengan 43 tahun ditangkap dalam satu operasi yang dijalankan selama seminggu. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
SINGAPURA: Seorang remaja berusia 16 tahun merupakan antara lima orang yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan. Ia berikutan satu operasi selama seminggu terhadap kegiatan keldai wang pada awal November.
Pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD) menjalankan operasi di merata Singapura dari 1 Nov hingga 7 Nov dengan kerjasama pasukan antipenipuan kegiatan keldai wang Bank DBS, yang ditubuhkan tahun ini sebagai sebahagian daripada usahanya menangani penipuan dan pengubahan wang haram.
Kelima-lima suspek berusia antara 16 dengan 43 tahun. 47 lagi orang, berusia 17 hingga 67 tahun, sedang membantu siasatan, kata polis dalam satu kenyataan pada Selasa (14 Nov).
“Mereka didakwa telah menyerahkan akaun bank peribadi mereka kepada penipu atau akaun Singpass mereka yang kemudiannya digunakan oleh penipu untuk membuka akaun bank,” kata polis.
Lebih S$680,000 turut dirampas semasa operasi itu.
"Keldai wang memainkan peranan penting dalam cara penipuan dilakukan, kerana penipu bergantung pada akaun bank ini sebagai saluran untuk keuntungan mereka yang diperoleh secara haram".
Polis berkata mereka sedang menyiasat kesalahan memudahkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer serta menipu.
Jika didapati bersalah kerana memudahkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer, individu itu boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang disabitkan kesalahan mendedahkan kod akses tanpa kebenaran untuk sebarang keuntungan yang salah atau tujuan yang menyalahi undang-undang boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Sementara itu, mereka yang disabitkan kesalahan menipu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.
“Untuk mengelak daripada terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, orang ramai harus sentiasa menolak permintaan bagi akaun bank peribadi mereka digunakan oleh orang lain,” kata polis.
Tambahnya, orang ramai tidak seharusnya memberikan akaun Singpass mereka kepada orang lain, kerana penipu boleh menggunakan akaun tersebut untuk mengakses "pelbagai kemudahan digital", termasuk membuka akaun bank.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.