Remaja 15 tahun yang radikal 'ancaman keselamatan berbahaya': ISD
Seorang pelajar berusia 15 tahun yang menjadi radikal sendiri dan ditahan pihak berkuasa pada Disember lalu dinilai oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sebagai ancaman keselamatan berbahaya. Ini mewajarkan penahanannya.

Gambar fail: Jeremy Long
SINGAPURA: Seorang pelajar berusia 15 tahun yang menjadi radikal sendiri dan ditahan pihak berkuasa pada Disember lalu dinilai oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sebagai ancaman keselamatan berbahaya. Ini mewajarkan penahanannya.
Seorang lagi remaja berusia 16 tahun yang menjadi radikal sendiri dan ditahan pada Januari, tidak mempunyai niat untuk melakukan sebarang keganasan bersenjata di Singapura mahupun di luar negara. Justeru, dia dikenakan Perintah Sekatan (RO) dan tidak ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai mengapa kedua-dua remaja lelaki itu ditangani secara berbeza dan sebab remaja berusia 15 tahun itu ditahan, ISD menyatakan ia adalah sebahagian daripada "pendekatannya yang tersusun" dalam menentukan campur tangan yang diperlukan bagi individu yang menjadi radikal. Ini berdasarkan penilaian holistik terhadap ancaman keselamatan yang ditimbulkan oleh individu itu.
Kedua-dua pelajar itu merupakan kenalan online seorang lagi remaja, Muhammad Irfan Danyal Mohamad Noor, 18 tahun, yang ditahan di bawah ISA pada Disember lalu.
Menurut ISD, remaja berusia 15 tahun itu sanggup melakukan keganasan bersenjata sama ada di Singapura atau di luar negara untuk mewujudkan sebuah khilafah Islam.
Dia juga mempertimbangkan untuk melakukan serangan di sini terhadap golongan bukan Islam kerana dia "taksub dengan kepercayaan" bahawa "orang-orang kafir" perlu dibunuh.
"Jika dia tidak ditahan, dia mungkin meneruskan dengan idea dan rancangan ganasnya," ISD memberitahu Mediacorp.
Manakala, remaja yang berusia 16 tahun itu pula tidak berniat atau merancang untuk melakukan keganasan bersenjata di sini atau di luar negara.
Meskipun dia masih menimbulkan ancaman keselamatan disebabkan oleh sokongan padunya terhadap kumpulan pengganas ISIS dan keganasan bersenjata, "ancaman itu dinilai sebagai tidak akan berlaku dalam masa terdekat", menurut ISD.
Ini sebabnya dia diberikan RO yang memerlukan dia berada di bawah pengawasan yang ketat dan tidak ditahan.
Kedua-dua remaja itu akan menjalani program pemulihan holistik dan menyeluruh bagi mengatasi ideologi radikal yang diterima dan menangani kecenderungan mereka kepada keganasan, tambah ISD.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.