Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 15 tahun disiasat setelah lelaki 'hilang' diarah rakam diri dalam keadaan 'lebam'

Anggaran Waktu Membaca:
 Remaja 15 tahun disiasat setelah lelaki 'hilang' diarah rakam diri dalam keadaan 'lebam'

Gambar hiasan. (Gambar: iStock/ronstik)

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap dan seorang remaja 15 tahun disiasat atas pelibatan mereka dalam skim penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah China.

Ini setelah satu rakaman video dan tuntutan wang tebusan bagi seorang lelaki hilang yang mengalami "lebam-lebam" dikirimkan kepada ibu bapa mangsa.

Ibu bapa mangsa, yang berpangkalan di China, kemudian menerima gambar dan video anak mereka, serta tuntutan wang tebusan daripada seorang individu yang tidak dikenali di China.

Selepas membuat aduan, para pegawai polis menjalankan pencarian dan siasatan meluas untuk mencari mangsa.

Dia kemudian dijumpai dalam keadaan selamat di sekitar Airport Boulevard pada Rabu (28 Apr), menurut polis dalam kenyataan medianya hari ini (29 Apr).

LEBAM PALSU

Siasatan awal menunjukkan lelaki itu menerima panggilan daripada seorang penipu yang mendakwa dirinya seorang pegawai polis China.

"Penipu itu mendakwa terdapat waran tangkap terhadapnya di China bagi kesalahan-kesalahan pengubahan wang haram dan kemudian mengarahkan mangsa supaya menghentikan semua komunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan," menurut polis.

Penipu juga memberitahu lelaki itu supaya mengambil gambar dan video dirinya dengan kesan "lebam", yang diada-adakan menggunakan alat solek, pada bahagian muka dan tangan untuk "membantu siasatan".

Tanpa pengetahuan mangsa, penipu itu mengirimkan gambar dan video kepada ibu bapanya di China dan menuntut wang tebusan untuk melepaskan anak mereka, tambah polis.

Menurut petikan gambar pertukaran mesej antara mereka, yang diberikan oleh polis, ibu bapa mangsa meminta penipu itu membuat panggilan video dengan anak mereka untuk memberi jaminan bahawa anak mangsa selamat.

Bagaimanapun, penipu itu enggan dan menggesa mereka supaya menghantar wang yang dituntut.

Ibu bapa mangsa kemudian meminta lebih banyak masa untuk mendapatkan wang tersebut.

REMAJA DIPERCAYAI DIARAH OLEH PENIPU BELI ALAT SOLEK, TALI

Lelaki 25 tahun dan remaja 15 tahun itu juga dipercayai mangsa skim penipuan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah China, menurut polis.

Lelaki itu "bertindak atas arahan penipu supaya menyerahkan telefon bimbit dan kad SIM kepada mangsa untuk berkomunikasi dengan penipu".

Sementara itu, remaja berkenaan membeli dan menyerahkan beberapa barangan - seperti telefon bimbit dengan kad SIM, makanan kering, alat solek, tali dan pembalut luka - kepada mangsa di bawah arahan penipu.

Siasatan masih dijalankan.

Mereka yang didapati bersalah kerana menipu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Mereka yang disabit kesalahan pengubahan wang haram juga berdepan hukuman penjara 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis juga menekankan bahawa polis China, INTERPOL dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain di luar negara "tiada kuasa untuk menjalankan operasi di Singapura, menangkap sesiapa atau meminta orang awam membantu dalam sebarang bentuk siasatan tanpa kebenaran pemerintah Singapura".

Polis menasihatkan orang awam supaya berjaga-jaga apabila menerima panggilan telefon yang tidak diminta, lebih-lebih lagi daripada pihak yang tidak dikenali dan yang tertera tanda awalan "+" dari luar negara.

Ini termasuk tidak mengendahkan panggilan dan arahan pemanggil serta mengesahkan dakwaan mereka dengan kedutaan atau suruhanjaya tinggi.

Orang awam seharusnya mengelak daripada memberikan butiran peribadi dan akaun bank, serta membuat pindahan wang kepada pemanggil atau laman web.
 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan