Remaja 15 tahun dijatuhi hukuman penahanan, bunuh bapa dengan pisau buah
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun hari ini (24 Jan) mengaku membunuh bapanya selepas menikam lehernya dengan pisau buah pada Disember 2020.
(Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun hari ini (24 Jan) mengaku membunuh bapanya selepas menikam lehernya dengan pisau buah pada Disember 2020.
Budak lelaki itu dijatuhi hukuman penahanan lima tahun selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan membunuh. Di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, budak lelaki tersebut dan anggota keluarganya tidak boleh dinamakan.
Mahkamah diberitahu bahawa remaja lelaki itu didiagnosis menghidapi gangguan spektrum autisme sejak kecil lagi dan didaftarkan di sekolah berkeperluan khas semasa Darjah 1. Dia dipindahkan ke sekolah biasa tidak lama selepas itu, kerana disifatkan sebagai "berfungsi seperti pelajar biasa", menurut dokumen mahkamah.
Pada 2018, dia didiagnosis mengalami gangguan permainan internet selepas dirujuk kepada Khidmat Pengurusan Ketagihan Kebangsaan di Institut Kesihatan Mental (IMH) atas kebimbangan tentang jumlah masa yang dihabiskan dalam permainan komputer.
Mahkamah mengetahui remaja itu mempunyai hubungan yang “keseluruhannya mesra" dengan adik dan ibunya, tetapi mempunyai "hubungan yang sukar" dengan bapanya, yang dianggapnya "terlalu mengawal".
Mangsa mengawasi anaknya “dengan teliti", mengehadkan akses kepada telefon bimbitnya dan permainan komputer serta menetapkan tugasan-tugasan. Ini termasuk mencuci pakaian, kerja sekolah dan membuat latihan pelajaran, menurut mahkamah.
Apabila remaja itu sesekali gagal mematuhi arahan, bapanya akan memukul dan memaki hamunnya.
Dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, tetapi mula berfikiran untuk membunuh bapanya pada Jun 2020, apabila bapanya melarangnya bermain komputer selama sebulan.
TIKAM LEHER BAPANYA
Pada 11 Disember 2020, remaja tersebut dan adiknya bersendirian di rumah mereka bersama bapa mereka. Ibu mereka sudah pergi bekerja.
Bapa remaja itu sedang mencuci pakaian dan menjadi marah apabila tidak menemui senduk sabun baju dan bertanya remaja itu seandainya dia menyembunyikannya. Remaja itu menafikannya.
Walaupun marah kerana disoal, remaja itu membantu untuk mencuci pakaian dengan mencedok sabun basuh baju menggunakan tangannya, menurut mahkamah.
Menyusuli pertemuan itu, remaja tersebut mula berfikir untuk membunuh bapanya "supaya dia bebas daripada bapanya", menurut mahkamah.
Dia pergi ke dapur dan cuba menyembunyikan pisau di dalam sakunya tetapi mendapati ia terlalu besar dan sukar untuk disembunyikan. Dia sebaliknya mengambil pisau buah – dengan mata berukuran kira-kira 9.5 sentimeter - dan menyembunyikannya di dalam kocek, sebelum kembali ke biliknya.
Apabila dia mendengar bapanya meminta adiknya untuk mencuci pakaian, dia keluar dari biliknya dan pergi ke dapur dan melihat kedua-duanya sedang mencuci pakaian.
Remaja itu "bertambah marah" apabila dia mendengar bapanya memberitahu adiknya bahawa remaja itu membuang senduk sabun basuh baju, menurut mahkamah.
"Dia terkilan kerana dituduh atas sesuatu yang tidak dilakukannya," menurut mahkamah.
Mangsa melihat remaja itu di dapur dan sekali lagi menuduhnya menyebabkan senduk sabun baju hilang, menurut dokumen mahkamah. Budak lelaki itu menafikan membuang senduk itu dan kembali ke biliknya.
Semasa di dalam biliknya, remaja itu memikirkan bagaimana bapanya terlalu tegas dan mengehadkan masa lapangnya.
Kira-kira pukul 10.10 pagi, remaja itu kembali ke dapur dan melihat bapanya sedang membongkok di tempat mencuci baju di sebelah adiknya.
Lalu dia menikam bapanya sekali pada sebelah kiri leher "dengan niat menyebabkan kematian si mati", menurut dokumen mahkamah. Remaja itu meletakkan pisau di sinki dapur dan berlari ke bilik.
Bapanya sempat berjalan ke ruang tamu dan duduk di kerusi, manakala anak bongsunya menghubungi ambulans dan ibunya.
Remaja itu keluar dari biliknya dan "berkali-kali memohon maaf" kepada bapa dan adiknya. Dia juga membantu adiknya menekan luka pada leher bapanya dengan tuala untuk menghentikan berdarah.
Bagaimanapun, bapanya pengsan dan rebah ke lantai. Paramedik dan pegawai polis tiba pada pukul 10.21 pagi dan cuba menyedarkan semula lelaki itu, tetapi mereka tidak berjaya.
Dia dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi.
Remaja itu mengaku kepada pegawai polis di flat itu bahawa dia menikam bapanya dan dia ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah hari.
PENILAIAN KEADAAN MENTAL REMAJA
Dr Ong Say How dari Institut Kesihatan Mental menjalankan penilaian terhadap keadaan mental remaja itu berikutan penangkapannya.
Remaja lelaki itu didiagnosis menghidapi gangguan spektrum autisme dan disifatkan berfungsi seperti pelajar biasa kerana dia dapat menamatkan pendidikan sekolah rendahnya di sekolah biasa, menurut dokumen mahkamah. Dia juga didapati menunjukkan sifat obsesif-kompulsif.
Dr Ong berkata gangguan spektrum autisme dan sifat obsesif-kompulsif remaja itu tiada "kaitan penyebab atau penyumbang kepada kesalahan" dan dia mempunyai "kematangan yang mencukupi" untuk memahami dan menilai sifat dan akibat perbuatannya semasa melakukan kesalahan tersebut.
Dia juga menilai bahawa risiko remaja itu untuk mengulangi keganasan adalah "rendah".
Timbalan Pendakwa Raya Lim Shin Hui meminta remaja itu ditahan selama lima hingga tujuh tahun. Dia berkata bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk membiarkan remaja itu, yang akan berusia 16 tahun pada bulan Februari ini, untuk terus tinggal di rumah tumpangan budak lelaki. Dia bakal menduduki peperiksaan peringkat “O” tahun ini.
Sekiranya maju ke peringkat pendidikan seterusnya, dia akan dipindahkan ke penjara di mana dia akan mempunyai akses kepada kemudahan, termasuk sokongan akademik yang diperlukan, tambah Encik Lim Shin Hui.
Encik Shashi Nathan, yang mewakili remaja itu, memohonkan hukuman penahanan selama tiga hingga lima tahun. Remaja itu bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan baik di rumah tumpangan tersebut, katanya.
Dia menambah bahawa ibu dan adik remaja itu melawatnya seminggu sekali, dan adik-beradik itu kini mempunyai hubungan yang rapat.
Menyifatkannya sebagai "budak muda yang pintar", Encik Nathan berkata remaja itu boleh menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan. Dia berkata bahawa meskipun remaja lelaki itu bermain permainan untuk melarikan diri ke alam fantasi, realiti menerpa.
“Realiti adalah peringatan yang berterusan setiap hari bahawa dia memusnahkan keluarganya. Dia terpaksa hidup dengan rasa bersalah kerana kehilangan bapanya sepanjang hayat,” ujar Encik Nathan.
Hakim Aedit Abdullah memberitahu remaja itu bahawa beliau berharap dia akan memikirkan apa yang sudah berlaku dan menambah bahawa walaupun beberapa tahun berikut akan "sukar", akan ada sokongan untuknya.
Hakim menambah, beliau berharap remaja itu tampil memberi sumbangan kepada keluarganya dan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.