Skip to main content

Singapura

Remaja 15 tahun dihantar ke Singapore Boys' Home selepas berulang kali ditangkap guna vape

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditangkap menghisap vape sebanyak lima kali diarahkan oleh mahkamah untuk ditempatkan di Singapore Boys' Home (Rumah Budak-Budak Lelaki Singapura).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 15 tahun dihantar ke Singapore Boys' Home selepas berulang kali ditangkap guna vape

Peranti vape dalam sebuah kedai vape di Melbourne, Australia. (Gambar fail: Reuters/Sandra Sanders)

Diterbitkan : 24 Jul 2025 02:42PM Dikemas Kini : 24 Jul 2025 02:45PM
SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditangkap menghisap vape sebanyak lima kali diarahkan oleh mahkamah untuk ditempatkan di Singapore Boys' Home (Rumah Budak-Budak Lelaki Singapura).

Remaja itu yang identitinya tidak boleh didedahkan kerana dia berusia bawah 18 tahun akan ditempatkan di Singapore Boys' Home selama dua tahun.

Menurut kenyataan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (24 Jul), dia dikenakan lima tuduhan bagi setiap kali dia didapati memiliki vape.

Dia dikenakan lagi 15 tuduhan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung perbicaraan di Mahkamah Belia, yang tidak dibuka kepada orang awam atau media.

Di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan), memiliki, menjual atau menggunakan vape dilarang di Singapura.

Lima kejadian berkaitan vape berlaku dalam tempoh 10 bulan.

Pada 4 Februari tahun lalu, remaja lelaki itu memiliki satu set vape di kolong blok HDB di Punggol.

Pada 19 Mac tahun lalu, dia ditemui dengan dua vape di sebuah cawangan McDonald's di pusat beli-belah Nex.

Pada 30 Mei pula, dia mempunyai satu vape di Sin Ming Avenue dan kurang dua minggu kemudian, dia ditemui dengan satu lagi vape di kawasan yang sama.

Kejadian terakhir berlaku pada Oktober 2024 di Serangoon Central.

Hukuman bagi kesalahan memiliki vape ialah denda sehingga S$2,000.

Mediacorp sudah menghubungi SPF untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai 15 tuduhan itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita