Remaja 15 tahun diberkas berhubung ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Xinmin
Seorang remaja berusia 15 tahun diberkas berhubung ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Xinmin minggu lalu, menurut polis pada Selasa (18 Ogos).
- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diberkas polis Singapura selepas ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Xinmin, Hougang.
- Insiden berlaku pada 13 Ogos, menyebabkan pelajar dan kakitangan dipindahkan sementara waktu sebagai langkah keselamatan.
- Pemeriksaan pihak berkuasa tidak menemui sebarang objek mencurigakan dan sesi pembelajaran diteruskan pada hari sama.
- Polis masih menyiasat kes ini di bawah undang-undang maklumat palsu mengenai objek berbahaya, dengan hukuman berat jika sabit kesalahan.
Para pelajar dan kakitangan sekolah di Hougang itu dipindahkan buat sementara waktu pada pagi Khamis lalu (13 Ogos) menyusuli "kemungkinan ancaman bom".
Sekolah Menengah Xinmin sebelum ini menyatakan pihaknya segera menghubungi polis selepas dimaklumkan mengenai ancaman tersebut.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis mengesahkan seorang remaja sudah diberkas berhubung kes itu, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai suspek berkenaan.
"Siasatan polis masih dijalankan," menurut polis.
Tiada barang mencurigakan ditemukan selepas pihak berkuasa memeriksa kawasan sekolah dan sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa pada hari yang sama.
Polis sebelum ini menyatakan kejadian itu disiasat sebagai kes menyampaikan maklumat palsu mengenai objek yang berbahaya.
Jika sabit kesalahan, individu yang menyampaikan maklumat palsu mengenai objek berbahaya boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
Kejadian terbaharu itu berlaku empat tahun selepas ancaman bom palsu serupa dilaporkan di Sekolah Menengah Evergreen di Woodlands.
Ketika itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan meskipun ancaman tersebut didapati palsu, ancaman keselamatan sedemikian tetap perlu dipandang serius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.