Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 15 tahun antara 149 disiasat atas kegiatan tailong

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat 149 individu yang berusia antara 15 hingga 70 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tailong. 

Para pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat melancarkan serbuan serentak merata negara antara 21 hingga 28 Mac. 

Demikian menurut polis dalam kenyataan medianya pada Selasa (29 Mac). 

Siasatan awal menunjukkan salah seorang suspek menjalankan urus niaga pinjaman tanpa lesen. 

Lagi 15 suspek disyaki melakukan gangguan di kediaman peminjam, manakala 21 suspek lain dipercayai menjadi orang suruhan yang membantu perniagaan tailong dengan melakukan pindahan wang menggunakan mesin-mesin ATM. 

Baki 112 suspek dipercayai "membuka akaun bank dan memberikan kad ATM, nombor pengenalan peribadi dan/atau token perbankan Internet mereka kepada tailong untuk memudahkan kegiatan pinjaman haram," tambah polis. 

Siasatan terhadap kesemua suspek sedang dijalankan. 

Apabila akaun bank, kad ATM atau token perbankan Internet seseorang individu digunakan untuk memudahkan pinjaman haram, maka individu itu dianggap sebagai membantu menjalankan perniagaan pinjaman wang tidak berlesen.

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana berbuat demikian boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda antara S$30,000 hingga S$300,000 dan disebat sehingga enam kali. 

Suspek yang didapati bersalah kerana bertindak bagi pihak pemiutang haram, melakukan atau cuba melakukan sebarang gangguan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda antara S$5,000 hingga S$50,000 dan disebat tiga hingga enam kali. 

Polis juga memberi amaran kepada orang ramai bahawa tailong kini semakin berleluasa menggunakan kiriman mesej atau platform online untuk mengiklankan pinjaman haram.

"Orang ramai diingatkan supaya jangan membalas iklan sedemikian dan melaporkan mesej-mesej itu sebagai 'spam'," menurut polis. 

Pihak berkuasa juga menggesa orang ramai supaya menghubungi polis jika mereka mengesyaki atau mengetahui sesiapa yang mungkin terlibat dalam kegiatan pinjaman tanpa lesen. 

"Polis akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dengan perniagaan pinjaman tidak berlesen, tanpa mengira peranan mereka, dan memastikan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya," menurut polis lagi. 

"Ini termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuka atau memberikan akaun bank mereka untuk membantu tailong."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan