Remaja 14 tahun mati lemas di pantai Changi
Seorang lagi lelaki pula dikejarkan ke Hospital Besar Changi setelah berjaya diselamatkan daripada lemas.
SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun disahkan mati lemas dalam satu insiden di pantai Changi petang tadi.
Seorang lagi lelaki pula dikejarkan ke Hospital Besar Changi setelah berjaya diselamatkan daripada lemas.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan demikian sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp berhubung kejadian tersebut.
Menurut SCDF dan SPF, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan bagi satu insiden di Changi Beach Park sekitar jam 3.30 petang tadi.
Setibanya SCDF di lokasi kejadian, seorang lelaki dilihat berada di tepi pantai dan diperiksa oleh paramedik sebelum dikejarkan ke hospital.

Para penyelam dari pasukan elit SCDF - Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (DART) - pula dikerahkan ke pantai itu untuk mencari seorang remaja berusia 14 tahun yang ketika itu masih hilang.
"Para penyelam kemudian menemui tubuh (remaja berkenaan) kira-kira 15 meter dari kawasan pantai. Orang tersebut disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik SCDF," menurut satu kenyataan SCDF kepada BERITAmediacorp.
Menurut SPF, kematian remaja itu diklasifikasikan sebagai kematian luar biasa dan ia sedang menyiasat.
Menerusi video-video yang viral di media sosial, seorang lelaki yang berjaya diselamatkan dilihat diusung ke sebuah ambulans.

Ramai anggota polis dan SCDF juga kelihatan menemu bual dengan beberapa anak muda di pinggir pantai, manakala para pegawai bomba dilihat membawa peralatan yang dipercayai untuk digunakan bagi mencari remaja yang 'hilang' itu.
Dua kapal ronda polis juga dilihat berada berdekatan kawasan pantai itu.
Catatan-catatan media sosial menyebut bahawa dua orang berenang di pantai tersebut. Seorang daripada mereka kemudian dipercayai lemas akibat arus kuat.
Dua lagi lelaki kemudian cuba menyelamatkan mangsa. Seorang daripada mereka bagaimanapun dikatakan hampir lemas dalam percubaan tersebut.ff
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.