Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 14 tahun dihantar ke Rumah Budak-Budak Perempuan SG atas kesalahan mencuri, menipu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang dihantar ke sebuah rumah budak-budak perempuan atas jenayah mencuri dan menipu didapati menerima "asuhan yang tidak konsisten dan tidak sesuai daripada ibu bapanya" dan diserang oleh ayahnya.

Meskipun ibu remaja itu terbuka kepada nasihat pakar khidmat perlindungan kanak-kanak dan cuba menetapkan rutin dan disiplin ke atasnya, bapanya pula bertindak sebaliknya dan bersikap kasar terhadapnya.

Remaja perempuan itu yang dikenali sebagai Ella dihantar ke Rumah Budak-Budak Perempuan Singapura selama 21 bulan oleh mahkamah belia.

Ella mengaku bersalah atas empat tuduhan. Ini termasuk mencuri alat solek dari Watsons dan menipu di Carousell di mana dia tidak menghantar barangan yang dibeli online.

Dia juga terlibat dalam serangan secara berkumpulan di mana mangsa dipukul dengan penumbuk buku lima. Lima lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

IBU BAPA MOHON BANTUAN

Selepas beberapa jenayah yang dilakukannya, ibu bapa Ella menghubungi Persatuan Kanak-Kanak Singapura pada 24 Februari 2022 dengan harapan dapat memanfaatkan rejim Perintah Bimbingan Keluarga disebabkan oleh tingkah laku Ella.

Persatuan itu menjalankan pemeriksaan dan mendapati beberapa tingkah laku berisiko pada Ella. Ini termasuk: bergaul dengan pengaruh kurang baik, merokok meskipun masih bawah umur, menggunakan vape, meminum minuman keras, tingkah laku seksual, pulang ke rumah lewat dan tidak pulang langsung.

Atas kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan Ella, ibu bapa Ella dinasihatkan supaya memfailkan permohonan bagi mendapatkan Perintah Bimbingan Keluarga daripada Mahkamah Belia.

Pada mulanya, ibu bapa Ella bersetuju untuk memohon perintah mahkamah itu, namun bapa Ella bagaimanapun memutuskan untuk tidak meneruskan dengan rancangan itu kerana Ella berjanji dia akan pergi ke sekolah.

Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak menarik perhatian bahawa ibu bapa Ella menghadapi kesukaran untuk menyelia dan mengawal tingkah lakunya, dengan keupayaan mereka dihambat oleh hubungan tegang antara mereka dan kaedah keibubapaan yang bercanggah antara bapa dan ibu Ella, menurut Hakim Daerah Amy Tung.

HAKIM TIDAK YAKIN

Hakim Tung berkata terdapat kemajuan yang terbatas pada usaha untuk melentur Ella menggunakan program berasaskan masyarakat dan dia tidak menunjukkan sikap terbuka.

"Pada pandangan saya, pilihan pemulihan berasaskan masyarakat seperti pemulihan memerlukan sokongan keluarga yang kuat dan keazaman di pihak pesalah untuk mengubah kehidupan demi dirinya sendiri," kata Hakim Tung.

 
Sumber : CNA/HY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan