Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 14 tahun antara 257 individu disiasat kes tipu melibatkan S$10.9 juta

Seramai 257 individu berusia antara 14 dengan 68 tahun, sedang membantu siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam kes-kes penipuan, yang mana para mangsa mengalami kerugian lebih S$10.9 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 14 tahun antara 257 individu disiasat kes tipu melibatkan S$10.9 juta

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 22 Oct 2021 08:22PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 08:25PM

SINGAPURA: Seramai 257 individu berusia antara 14 dengan 68 tahun, sedang membantu siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam kes-kes penipuan, yang mana para mangsa mengalami kerugian lebih S$10.9 juta.

Seramai 177 lelaki dan 80 wanita dipercayai terlibat sebagai penipu atau keldai wang dalam lebih 849 kes penipuan, menurut pihak polis hari ini (22 Okt).

Kes-kes penipuan tersebut sebahagian besarnya terdiri daripada penipuan pelaburan, pekerjaan, e-dagang, penyamaran sebagai pegawai pemerintah atau China serta penipuan pinjaman wang.

"Para suspek sedang disiasat atas tuduhan melakukan kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat bayaran tanpa lesen," tambah polis.

Siasatan tersebut menyusuli operasi yang dijalankan para pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersil (CAD) dan tujuh divisyen darat polis sepanjang dua minggu antara 8 dengan 21 Oktober.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda, manakala mereka yang disabit kesalahan melakukan pengubahan wang haram pula boleh dipenjara hingga 10 tahun, denda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan menjalankan perniagaan yang menyediakan apa jua jenis khidmat pembayaran di Singapura tanpa lesen membawa denda sehingga S$125,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis mengambil "pendekatan yang tegas" terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam penipuan dan para pesalah akan ditangani mengikut undang-undang.

Untuk mengelak daripada bersubahat dalam kes jenayah, orang awam diingatkan supaya menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian telefon bimbit mereka kerana boleh dipertanggungjawabkan sekiranya ia dikaitkan dengan sebarang jenayah.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan