Remaja 14 tahun antara 236 orang disiasat berkaitan penipuan; mangsa rugi hampir S$5.1 juta
(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Seramai 236 suspek penipu dan keldai wang sedang disiasat berikutan operasi dua minggu yang dijalankan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).
Individu-individu tersebut dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 787 kes penipuan, termasuk penipuan cinta internet, penipuan e-dagang, penipuan penyamaran emel perniagaan, penipuan penyamaran pegawai pemerintah dan China, penipuan pelaburan, penipuan peluang pekerjaan dan penipuan pinjaman, menurut SPF dalam satu kenyataan media hari ini (11 Mac).
Mangsa mengalami kerugian lebih S$5.1 juta.
Suspek terdiri daripada 158 lelaki dan 78 wanita berumur antara 14 dengan 72 tahun. Mereka dikenal pasti selepas operasi seluruh pulau oleh
Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dan tujuh divisyen polis darat dari 25 Februari hingga 10 Mac.
"Suspek sedang disiasat atas dakwaan kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat pembayaran tanpa lesen,” menurut SPF.
Mereka yang sabit kesalahan melakukan penipuan berdepan hukuman 10 tahun penjara dan dikenakan denda.
Jika didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga maksimum S$500,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati bersalah menjalankan perniagaan untuk menyediakan sembarang jenis khidmat pembayaran di Singapura tanpa lesen akan dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda sehingga S$125,000 atau kedua-duanya sekali.
"Polis memandang serius terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam penipuan. Pesalah akan dihukum mengikut undang-undang,” tegas SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.