Remaja 14 tahun antara 236 orang disiasat berkaitan penipuan libatkan S$6.1 juta
Seramai 163 lelaki dan 73 wanita sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam penipuan di mana mangsa kerugian lebih S$6.1 juta, menurut polis hari ini (19 Nov).
(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Seramai 163 lelaki dan 73 wanita sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam penipuan di mana mangsa kerugian lebih S$6.1 juta, menurut polis hari ini (19 Nov).
Kesemua 236 suspek berusia 14 hingga 78 tahun itu dipercayai terlibat dalam lebih 770 kes penipuan sebagai penipu atau keldai wang.
Penipuan itu kebanyakannya terdiri daripada penipuan cinta Internet, penipuan edagang, penipuan menyamar sebagai pegawai China dan pemerintah, serta pelaburan, pekerjaan, emel perniagaan dan penipuan pinjaman.
Mereka yang disiasat dikenal pasti menyusuli operasi dua minggu oleh Jabatan Ehwal Komersial dan tujuh divisyen darat polis antara 6 November hingga 18 November.
“Suspek disiasat atas dakwaan melakukan kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat pembayaran tanpa lesen,” jelas polis.
Mereka yang disabit kesalahan menipu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda. Mereka yang didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda tidak melebihi S$500,000, atau kedua-duanya.
Kesalahan menjalankan perniagaan menyediakan apa-apa bentuk khidmat pembayaran di Singapura tanpa lesen membawa denda sehingga S$125,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Polis mengambil pendirian tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin terlibat dalam penipuan, dan pelaku akan dikenakan tindakan undang-undang.
"Untuk mengelak daripada bersubahat dengan jenayah, orang ramai perlu sentiasa menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian mudah alih anda kerana anda akan bertanggungjawab jika ia dikaitkan dengan jenayah," tegas polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.