Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 14 tahun antara 181 disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tailong

Anggaran Waktu Membaca:
 Remaja 14 tahun antara 181 disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tailong

Gambar hiasan. (Gambar: iStock/PKpix)

SINGAPURA: Seramai 181 orang yang berusia antara 14 dengan 77 tahun disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.

Demikian menurut polis pada Sabtu (22 Jan).

Suspek dikenal pasti menyusuli satu operasi selama dua minggu terhadap pemiutang wang haram antara 10 Januari dengan 21 Januari.

Operasi itu disertai pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat yang menjalankan serbuan serentak di merata negara.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa 15 suspek dipercayai melakukan gangguan di kediaman peminjam, menurut polis dalam satu kenyataan media.

Lagi 28 suspek dipercayai membantu perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dengan melakukan pemindahan menerusi mesin ATM.

"Salah seorang suspek juga dipercayai memberi maklumat palsu kepada pemiutang haram, menyebabkan gangguan di rumah mangsa yang tidak bersalah," tambah polis.

Baki 37 suspek dipercayai membuka akaun bank dan memberikan kad ATM dan nombor pengenalan peribadi (PIN) atau token perbankan internet kepada peminjam wang tidak berlesen untuk memudahkan perniagaan mereka.

Siasatan terhadap semua suspek sedang dijalankan.

Individu yang membenarkan akaun bank, kad ATM atau token perbankan internet mereka digunakan untuk memudahkan urusan pinjaman wang oleh pemiutang haram dianggap sebagai menolong mereka dalam kegiatan tersebut, menurut SPF.

Pesalah kali pertama berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun, denda antara S$30,000 dengan S$300,000 dan tidak kurang enam sebatan.

Pesalah kali pertama yang didapati bertindak bagi pihak tailong, melakukan atau cuba melakukan gangguan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda S$5,000 hingga S$50,000 dan dirotan antara tiga dengan enam sebatan.

Mereka yang didapati bersalah memberikan maklumat palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada tailong boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Polis menyatakan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perniagaan pemiutang wang haram, tidak kira peranan mereka dan memastikan mereka berdepan "tindakan undang-undang".

Ini termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuka atau memberi akaun bank mereka untuk membantu pemiutang haram.

"Peminjam wang tidak berlesen semakin kerap menggunakan kiriman mesej atau wadah online untuk menghantar iklan hutang yang tidak diminta. Orang ramai diingatkan supaya jangan membalas atau memberi respons kepada iklan sedemikian dan melaporkan mesej-mesej itu sebagai 'spam'," menurut polis.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan