Skip to main content

Singapura

Remaja 13 tahun antara 316 suspek diberkas dalam operasi basmi tailong

Seorang remaja berusia 13 tahun adalah antara 316 orang yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tailong, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya pada Selasa (9 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 13 tahun antara 316 suspek diberkas dalam operasi basmi tailong

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 09:01AM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 09:09AM

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 13 tahun adalah antara 316 orang yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tailong, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya pada Selasa (9 Feb).

Mereka diberkas dalam serbuan yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara semasa operasi selama tiga minggu itu berakhir pada Ahad. Serbuan-serbuan itu melibatkan para pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh divisyen polis darat.

Siasatan awal mendedahkan bahawa 33 suspek dipercayai mengganggu para peminjam di tempat kediaman masing-masing.
Seramai 68 suspek yang dipercayai adalah ‘runner’ menolong tailong dalam urusan niaga haram mereka dengan melakukan pemindahan wang melalui mesin-mesin ATM.

Baki 215 suspek dipercayai membuka akaun bank dan memberikan kad ATM dan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) atau token perbankan Internet mereka kepada tailong untuk memudahkan peminjaman wang tanpa lesen, menurut polis.

Wang tunai sebanyak S$52,000 dan barangan seperti telefon bimbit dan kad SIM pra-bayar turut dirampas semasa operasi, menurut pihak berkuasa.

Siasatan terhadap kesemua suspek sedang dijalankan.
Di bawah Akta Pemiutang, apabila akaun bank, kad ATM atau token perbankan Internet milik seseorang individu digunakan untuk memudahkan kegiatan pemiutang tanpa lesen, maka orang itu dianggap telah membantu menjalankan urus niaga pinjaman tanpa lesen.

Para pesalah kali pertama yang didapati bersalah atas tuduhan menjalankan atau membantu dalam kegiatan memberi pinjaman tanpa lesen boleh dikenakan denda antara S$30,000 hingga S$300,000, hukuman penjara sehingga empat tahun dan sehingga enam sebatan.

Sesiapa saja yang didapati bertindak bagi pihak tailong, dengan melakukan atau cuba melakukan sebarang gangguan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda antara S$5,000 hingga S$50,000 dan dirotan antara tiga hingga enam sebatan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita