Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Remaja 12-17 tahun mesti dapatkan dos penggalak dalam 9 bulan selepas dos kedua

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jan 2022 06:48PM Dikemas Kini : 22 Jan 2022 12:01AM

SINGAPURA: Mulai 14 Mac, mereka yang berusia antara 12 dengan 17 tahun perlu mendapatkan suntikan dos penggalak dalam tempoh 270 hari selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19, untuk mengekalkan status lengkap divaksin.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (21 Jan).

Pelanjutan program suntikan dos penggalak kepada kumpulan usia tersebut dibuat menyusuli saranan-saranan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 (EC19V), tambah MOH.

Buat masa ini, hanya mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas ditawarkan suntikan dos penggalak vaksin mRNA, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, lima bulan selepas melengkapkan dua dos.

Kumpulan tersebut diperlukan mengambil suntikan dos penggalak dalam tempoh 270 hari selepas lengkap dua dos vaksin untuk mengekalkan status lengkap divaksin terhadap COVID-19 mulai 14 Februari.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MOH menyatakan program suntikan vaksin dos penggalak akan secara bertahap-tahap dilanjutkan kepada mereka yang berusia antara 12 dengan 17 tahun mulai awal Februari.

Ia akan bermula dengan mereka yang berusia 16 atau 17 tahun disusuli dengan mereka yang berusia antara 12 dengan 15 tahun.

"Vaksinasi, terutama sekali suntikan dos penggalak akan memastikan kita mengekalkan lebih banyak kadar perlindungan terhadap Omicron," menurut MOH.

"Suntikan dos penggalak sudah membantu memperlahankan kenaikan kes-kes jangkitan Omicron sejauh ini dan meningkatkan perlindungan kita terhadap jangkitan dan penyakit teruk."

Ibu bapa atau penjaga remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan menerima kiriman SMS dengan pautan khas ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan bagi dua vaksinasi sebelum ini, untuk memberi izin dan membuat janji temu bagi suntikan vaksin dos penggalak.

Para remaja tersebut akan dapat menerima suntikan dos penggalak di mana-mana pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin PfizerBioNTech/Comirnaty.

Begitu juga bagi dua dos pertama vaksin, hanya remaja berusia 12 tahun dan pelajar di sekolah-sekolah Pendidikan Khas (SPED) perlu ditemani oleh seorang waris pada hari vaksinasi. Mereka yang berusia 13 tahun dan ke atas tidak perlu ditemani.

Mereka yang berusia antara 12 dengan 17 tahun, yang secara perubatan tidak layak bagi vaksin PfizerBioNTech/Comirnaty akan ditawarkan dos penggalak Sinovac-CoronaVac di bawah program khas kesihatan awam, menurut MOH.

Program itu juga akan dilanjutkan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang secara perubatan tidak layak bagi vaksin Pfizer-BioNTech/ Comirnaty untuk dua vaksin asas.

"Para peserta dalam program kesihatan awam akan dipantau rapi oleh petugas perubatan yang sudah dilatih," menurut MOH, sambil menambah ia akan menghubungi individu-individu yang layak untuk memberikan perinciannya.


DAPATAN DARIPADA KAJIAN KANAK-KANAK

Satu analisis sementara bagi kajian vaksinasi COVID-19 yang dijalankan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK ke atas 150 kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun menunjukkan kesemua mereka memiliki paras tinggi antibodi menyusuli dua dos vaksin Pfizer-BioNTech/ Comirnaty, menurut MOH.

Analisis itu meninjau 50 kanak-kanak yang sudah menerima dos pediatrik vaksin.

Menurut MOH, kadar kesan sampingan selepas vaksinasi adalah lebih rendah berbanding remaja, dengan tiada satu pun daripada mereka memerlukan semakan perubatan atau dimasukkan ke hospital setakat ini.

"Dengan dapatan positif setempat ini, kami menggalakkan semua kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun supaya tampil mendapatkan vaksinasi," menurut MOH.

SUNTIKAN DOS PENGGALAK, KEKALKAN STATUS LENGKAP DIVAKSIN

MOH mengingatkan semua yang berusia 12 tahun dan ke atas, yang sudah ditawarkan suntikan dos penggalak supaya jangan melengahkan suntikan tersebut menjangkaui sembilan bulan selepas menerima dos kedua vaksin.

Ia menambah vaksin Sinovac-CoronaVac seharusnya digunakan sebagai suntikan dos penggalak oleh mereka yang "secara perubatan tidak layak" untuk menerima vaksin-vaksin mRNA.

"Mereka yang sudah menerima dua atau lebih dos vaksin Sinovac-CoronaVac atau Sinopharm sebagai sebahagian daripada siri asas tiga dos sangat disarankan untuk menerima satu dos vaksin mRNA sebagai dos penggalak," menurut MOH.

Mereka yang sudah menerima vaksin mRNA sebagai dos ketiga daripada siri asas tiga dos harus menerima suntikan dos penggalak sekitar lima bulan selepas itu, tambah MOH.

Bagi mereka yang sudah menerima vaksin Sinovac-CoronaVac atau Sinopharm bagi semua tiga dos, MOH menyatakan mereka harus menerima suntikan dos penggalak tiga bulan selepas itu. Ini disebabkan "paras antibodi yang lebih rendah daripada dos ketiga vaksin tersebut".

Sementara itu, mereka yang sudah pulih daripada COVID-19 dan sudah lengkap siri asas vaksin mereka tidak perlu menerima tambahan suntikan dos penggalak "buat masa ini", menurut MOH.

Ia menyatakan kumpulan itu akan terus dianggap sebagai lengkap divaksin selepas 14 Februari. Namun MOH menambah ia tetap selamat untuk mereka menerima suntikan dos penggalak lima bulan selepas dos terakhir.

"Pusat-pusat vaksinasi kita tidak akan menolak individu-individu sedemikian," menurut MOH.

"Kami sangat menggalakkan semua yang layak bagi suntikan dos penggalak supaya mendapatkannya secepat mungkin. Ini akan membantu memastikan diri anda dan orang-orang tersayang selamat," menurut MOH.


 

 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan