Skip to main content

Singapura

Remaja 11 tahun antara individu didenda kerana hisap vape semasa operasi HSA di Punggol

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 11 tahun antara individu didenda kerana hisap vape semasa operasi HSA di Punggol
Diterbitkan : 13 May 2026 02:46PM Dikemas Kini : 13 May 2026 02:47PM
SINGAPURA: Beberapa individu, termasuk seorang remaja berusia 11 tahun, didenda kerana menghisap vape semasa operasi penguatkuasaan di Punggol, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (13 Mei).

Operasi pada 30 April lalu yang dijalankan bersama polis, adalah sebahagian daripada rondaan penguatkuasaan yang dijalankan bagi mengesan kesalahan berkaitan vape.

Tiga individu berusia 11 hingga 29 tahun, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, diberkas dan didenda kerana menghisap vape, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun diberkas atas kesalahan etomidate yang disyaki berulang, dengan ujian air kencingnya diuji positif bagi bahan itu.

Empat vape dan komponen berkaitan juga dirampas, termasuk satu pod disyaki mengandungi etomidate.

Pod itu sudah pun dihantar untuk diuji, menurut HSA.
Related article image
Pegawai polis dan HSA menjalankan operasi penguatkuasaan di Punggol pada 30 April 2026. (Gambar: HSA)
HSA menarik perhatian terhadap denda lebih berat di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Vape yang berkuat kuasa pada 1 Mei.

Mereka yang didapati menghisap vape boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, manakala mereka yang didapati menghisap vape yang mengandungi etomidate boleh didenda sehingga S$20,000 atau dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Lagi lima remaja lelaki berusia antara 17 hingga 20 tahun ditangkap kerana merokok di bawah umur. Mereka dirujuk kepada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk kaunseling pemberhentian," menurut HSA.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita