Relawan pusat jagaan pelajar mengaku bersalah cabul budak 10 tahun
Seorang lelaki berusia 20 tahun mengaku bersalah pada Isnin (25 Mac) atas tuduhan mencabul kehormatan seorang budak lelaki 10 tahun di sebuah pusat jagaan pelajar, di mana pesalah ketika itu adalah seorang relawan.
(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 20 tahun mengaku bersalah pada Isnin (25 Mac) atas tuduhan mencabul kehormatan seorang budak lelaki 10 tahun di sebuah pusat jagaan pelajar, di mana pesalah ketika itu adalah seorang relawan.
Lelaki tersebut mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, dengan satu lagi tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah difahamkan bahawa lelaki tersebut, yang namanya tidak boleh didedahkan untuk melindungi identiti mangsa, mula menjadi sukarelawan di pusat itu pada November 2016. Sebagai seorang relawan, dia ditugaskan untuk membantu para pelajar dengan pelajaran mereka dan bermain permainan papan bersama mereka.
Pada 2017, tertuduh menemui mangsa di pusat itu dan mula berhubungan dengan mangsa melalui Instagram. Hubungan rapat mula terjalin antara mereka berdua, dengan si mangsa menyifatkan tertuduh sebagai seorang abang.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki tersebut mengaku dia mula "berminat terhadap budak lelaki" pada 2018.
Pada salah satu petang pada bulan Julai 2018, lelaki tersebut mengajak mangsa ke tandas di mana dia melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas budak itu.
Mangsa berasa takut namun mendiamkan diri sepanjang insiden itu.
Budak itu kemudian memberitahu ibunya tentang apa yang dilakukan terhadapnya oleh lelaki tersebut. Wanita berkenaan kemudian memaklumkan pengarah eksekutif pusat jagaan itu yang kemudian membuat aduan polis selepas menjalankan siasatan dalamanan.
Atas kesalahan melakukan perbuatan yang tidak senonoh ke atas seorang kanak-kanak atau budak bawah umur, lelaki itu boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.