Relawan Projek DIAN@M³ dialu-alukan, jadi sumber inspirasi buat keluarga yang didampingi

SINGAPURA: Dalam usaha untuk membantu pembelajaran anak-anak yang bersekolah atau melakukan lawatan ke rumah keluarga yang menetap di flat-flat sewa, Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli menyeru agar lebih ramai relawan tampil untuk menyokong Projek DIAN@M³.
Ini khususnya bagi mereka yang mempunyai anak kecil berumur 6 tahun ke bawah.
Beliau menyampaikan hal demikian dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).
Usaha yang diterajui Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman itu sudahpun dirintis di M³@Bedok, M³@Geylang Serai dan M³@Jalan Besar, sejak ia dilancarkan tahun lalu.
Menerusi lawatan rumah ke rumah yang dianjurkan oleh para relawan sejauh ini, Dr Maliki berkongsi beberapa perkara yang diperhatikan mengenai golongan tersebut.
"Apa yang kami dapati ialah mereka (keluarga) mungkin kurang sumber dari segi penglibatan mereka, cara mereka mengasuh anak-anak, pengetahuan mereka untuk mendidik dan membimbing anak-anak mereka. Mereka dahagakan bimbingan dan perlu didampingi oleh sekumpulan sukarelawan yang dapat memberi mereka inspirasi bagaimana mereka boleh membesarkan anak-anak mereka," kongsi Dr Maliki.
Lantaran itulah, program yang lebih khusus akan dilaksanakan untuk para relawan yang menyertai Projek DIAN@M³.
"Kami akan mengundang para sukarelawan yang akan dilatih untuk mendekati keluarga-keluarga muda ini di mana mereka boleh melihat dan menunjukkan bagaimana mereka boleh mengasuh anak-anak kecil. Lebih-lebih lagi keluarga yang mempunyai anak di bawah usia enam tahun, bayi lagi. Kita juga ingin mendapatkan sokongan sukarelawan untuk memberikan sokongan pendidikan di dalam rumah," tambah Dr Maliki.
Dr Maliki memberi contoh, para mahasiswa universiti misalnya boleh menyumbang tenaga dalam program tuisyen di rumah.
Beliau juga berharap para relawan diharap dapat menjadi sumber inspirasi buat keluarga-keluarga yang didampingi untuk mencapai kejayaan.
Program perintis yang dijalankan sejauh ini kata Dr Maliki juga membawa hasil yang cukup positif.
"Kami sudah menjalankan projek perintis ini, beberapa orang guru tuisyen telahpun mendekati keluarga ini. Kita melihat bagaimana anak-anak mereka mula senang dengan pembelajaran mata pelajaran mereka dan kita juga melihat perubahan pada ibu bapa tersebut. Ibu bapa diberi harapan bahawa mereka mempunyai peranan juga untuk menggalakkan anak-anak mereka," kata Dr Maliki.
Sejak Disember tahun lalu, sekitar 160 keluarga Melayu/Islam didampingi di bawah Projek DIAN@M³.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.