Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Relawan jadi 'mata-mata' skim baru cegah jenayah dalam masyarakat

Anggota masyarakat yang berminat untuk mendapatkan amaran jenayah terkini atau mahu menyediakan maklumat kepada polis boleh menyertai satu skim pencegahan jenayah masyarakat yang baru dilancarkan pada Sabtu (11 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Dec 2021 01:20PM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 09:32PM

SINGAPURA: Anggota masyarakat yang berminat untuk mendapatkan amaran jenayah terkini atau mahu menyediakan maklumat kepada polis boleh menyertai satu skim pencegahan jenayah masyarakat yang baru dilancarkan pada Sabtu (11 Dis).

Di bawah Skim Pengawasan Masyarakat (CWS), para relawan akan menerima kemas kini secara berkala - termasuk makluman berkaitan jenayah - serta juga peluang untuk mengambil bahagian dalam kegiatan, latihan dan bengkel berkaitan.

Anggota masyarakat turut digesa untuk mengongsi maklumat daripada polis - seperti amaran terhadap suspek jenayah - dengan rangkaian kenalan mereka, menurut polis. Ia menambah mereka juga digalak untuk berkongsi maklumat jenayah dengan pihak berkuasa.

CWS akan menjadi skim relawan masyarakat utama "peringkat permulaan", menyokong skim-skim sedia ada seperti Zon Pengawasan Kejiranan (NWZ), Pengawasan Kenderaan dan Pengawasan Penunggang.

Berbeza dengan skim yang berdasarkan kawasan, CWS akan dianjurkan berdasarkan kepentingan. Ini akan membantu membina sebuah masyarakat yang lebih besar "di mana setiap anggota masyarakat boleh terlibat sama dalam keselamatan sesebuah kawasan yang menjadi kepentingan bersama, tidak kira di mana mereka berada", menurut polis.

Buat masa ini, terdapat enam kumpulan berkepentingan yang para sukarelawan boleh mendaftar, berdasarkan lima persekitaran luas kehidupan harian: kediaman, kerja/pembelajaran, pengangkutan, gaya hidup dan dalam talian.

Antara contoh kumpulan berkepentingan itu termasuk Pengawasan E-Pembeli-Belah, di mana para anggota akan mendapat berita jenayah terkini yang menjejas para pembeli online dan Pengawasan Pengayuh Basikal, yang akan menyampaikan maklumat jenayah dan keselamatan jalan raya yang menjejas pengayuh basikal. Terdapat rancangan untuk menambah lebih banyak kumpulan berkepentingan pada masa akan datang.

“Dengan kumpulan utama ini, kami boleh memastikan keberlanjutan bagi semua skim berbeza, kami boleh memanfaatkan sinergi sesama mereka," kata Pengarah Jabatan Kerjasama Masyarakat, Penolong Pesuruhjaya Shng Yunn Chinn.

Skim ini juga memerlukan "komitmen minimum" dan sesiapa sahaja yang berusia 13 tahun dan ke atas boleh menyertainya, tambah beliau.

Polis menyatakan anggota CWS yang mahu menyumbang lebih daripada itu juga boleh mendaftarkan diri bagi skim-skim relawan lain yang memerlukan lebih banyak komitmen dan pelibatan, seperti Rondaan Rakyat (COP) dan Pasukan Konstabel Khas Sukarela.

Anggota Rondaan Rakyat menjalankan rondaan di kawasan kejiranan mereka secara berkumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangya empat anggota untuk mencegah dan mengekang jenayah. Sementara itu, pegawai Pasukan Konstabel Khas Sukarela mempunyai kuasa seorang pegawai polis dan bekerjasama dengan para pegawai polis biasa.

Menurut polis, sejak Jun 2021, sekitar 5,000 orang sudahpun menyertai CWS.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan