Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Relawan giat bersihkan masjid; anjur kegiatan kemasyarakatan jelang Ramadan

Menjelang ketibaan bulan Ramadan minggu depan, para relawan masjid sudah mula menyingsing lengan sejak seminggu lalu bagi melakukan kerja-kerja pembersihan di masjid-masjid merata negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjelang ketibaan bulan Ramadan minggu depan, para relawan masjid sudah mula menyingsing lengan sejak seminggu lalu bagi melakukan kerja-kerja pembersihan di masjid-masjid merata negara.

BERITAmediacorp meninjau-ninjau persiapan salah sebuah masjid di timur Singapura, Masjid Al-Ansar yang menghimpunkan lebih 50 relawan bagi usaha murni ini.

RELAWAN MAPAN PIMPIN USAHA

Encik Manan Aziz dan isterinya Cik Soliha Marzuki memerah keringat setiap minggu sebagai relawan Masjid Al-Ansar sejak empat tahun yang lalu.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Namun, hari ini Encik Manan diberikan tanggungjawab yang lain daripada biasa - iaitu memimpin sekumpulan relawan untuk membersihkan pekarangan masjid menjelang bulan Ramadan.

"Masjid ini sudah empat, lima tahun jadi kekotorannya agak lebih sedikit. Jadi Alhamdulillah, kita dapat beramai-ramai bergotong-royong, jadi tahun ini saya rasa lebih meriah kerana ramai yang bergotong-royong," kongsi Encik Manan.

"Kita bersama-sama jemaah yang lain, bergotong-royong tolong-menolong sama-sama, mana yang patut boleh dibantu itu sahaja," kata Cik Soliha.

Proses memperbaiki keadaan masjid ini bermula dengan membersihkan perkakas dan kemudahan masjid seperti kipas, tandas dan lantai dewan solat.

Ketua kumpulan turut mengadakan sesi taklimat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan para relawan sentiasa terpelihara.

Relawan Muslimah pula ditugaskan untuk mencuci dan melipat telekung.

Di Masjid Al-Ansar khususnya, lebih 50 relawan dari estet-estet kejiranan berbeza bekerja keras dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang membersihkan pekarangan masjid. Ini semuanya agar para jemaah yang tiba untuk mengimarahkan masjid di Bedok North pada Ramadan nanti dapat menjalankan ibadah mereka dengan selesa.

SAMBIL MENGEMAS, ERATKAN SILATURRAHIM

Lebih daripada setakat kerja-kerja pembersihan, pastinya kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan ini turut dijadikan peluang untuk saling beramah mesra dan mengeratkan tali silaturrahim dalam kalangan relawan.

"Jadi kita masing-masing bekerja di sini untuk bersilaturahim pun iya, selain dari membersihkan masjid, jadi kita dapat berkenalan dengan teman-teman yang lain, kalau jemaah-jemaah yang datang ke masjid tengok keadaan masjid semua dah bersih mereka akan rasa lebih selesa," ujar seorang lagi relawan, Cik Saharah Osman.

Selain Masjid Al-Ansar, masjid-masjid lain di merata Singapura juga sudah memulakan kerja-kerja pembersihan menjelang bulan Ramadan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan