Relawan dapat timba kemahiran dan pengetahuan untuk perkasa masyarakat Melayu/Islam
SINGAPURA: Membina rangkaian dan mempelajari amalan terbaik bagi memperbaiki usaha pendampingan kepada masyarakat Melayu/Islam.
Itulah yang dapat dilakukan sekitar 60 relawan di acara Siri Seminar M³ yang pertama seumpamanya dianjurkan Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (ECO) petang tadi (28 Okt).
Bertemakan 'Igniting Impactful Actions', acara tersebut bertujuan untuk melengkapkan para relawan dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam.
Di acara tersebut, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Maliki Osman turut berkongsi tentang peri pentingnya untuk menjalankan usaha sukarela dan membina daya kecekapan menerusi latihan.
MENJADI SEORANG RELAWAN MEMERLUKAN LEBIH DARIPADA SIFAT KEIHSANAN
Dalam ucapannya, Dr Maliki mengingatkan beberapa perkara mengenai kerja-kerja sukarelawan yang dijalankan para peserta.
Dr Maliki berkata, "Yang pertama, kerja sukarelawan ini adalah satu usaha peribadi. Kita tidak perlu bandingkan diri kita dengan yang lain kerana setiap orang ada daya keupayaan sendiri untuk menyumbang kepada masyarakat tetapi anda perlu tahu bahawa setiap sumbangan itu dihargai."
"Kita juga perlu mengambil kira waktu yang kita ada, bagaimana dan bila kita ingin melakukan kerja sukarela tetapi kalau untuk melakukan kerja sukarela itu adalah perkara yang terakhir dalam senarai, mungkin anda tidak akan lakukannya. Jadi penting untuk ketepikan mungkin satu jam seminggu atau dua minggu. Dengan cara itu, anda akan menjadi sukarelawan yang baik," tambah beliau.
Dr Maliki berpendapat bahawa acara Siri Seminar M³ itu adalah penting kerana ia dapat melengkapkan para relawan dengan kemahiran-kemahiran yang penting dan yang diperlukan apabila mereka turun padang dan mendampingi keluarga-keluarga.
Menerusi sesi-sesi bengkel dan seminar yang dilalui para relawan, mereka antara lain dapat menimba kemahiran seperti melakukan lawatan rumah ke rumah, memahami dasar-dasar penting mengenai perumahan dan bantuan yang boleh didapatkan serta cara-cara berkomunikasi dengan para penduduk.
"Saya akur bahawa menjadi seorang relawan ini memerlukan lebih daripada sekadar sifat keihsanan. Kita juga perlu tahu perkara yang betul untuk dikatakan, perkara yang betul untuk dilakukan. Ini kerana masyarakat yang anda mendampingi melalui cabaran yang berbeza, mempunyai kehidupan yang berbeza." ujar Dr Maliki.
PELAJARI CARA MENDAMPINGI KELUARGA, BINA RANGKAIAN DENGAN INDIVIDU BERFIKIRAN SAMA
Menerusi sesi selama tiga jam itu, para relawan antara lain juga dapat mendengar perkongsian topik-topik penting dan relevan kepada kerja sukarela.
Antara anggota panel bagi seminar tersebut ialah Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Cik Hazlina Halim.
Beliau berkongsi tentang peri pentingnya untuk para relawan memainkan peranan yang aktif dalam pendampingan masyarakat serta bagaimana untuk mengatasi halangan bersama keluarga-keluarga apabila berkomunikasi dengan mereka.
Pengarah syarikat Kinobi, Encik Hafiz Kasman pula berkongsi tentang peluang-peluang sedia ada untuk bersukarela serta bagaimana untuk menganjurkan program sukarela sendiri.
Para relawan yang hadir juga dapat memahami tentang manfaat bersukarela menerusi perkongsian Pengurus Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim.
Selain meningkatkan kesedaran dan meraih kemahiran baru, para peserta juga dapat melebarkan jaringan kenalan.
Relawan belia M³@Tampines, Nur Syamimi Awalludin pula berkata, "Saya rasa sesi perkongsian hari ini amat baik kerana para panelis banyak membantu dan berkongsi pengalaman peribadi dalam membantu golongan wanita, kanak-kanak dan juga keluarga. Pada masa hadapan, saya akan lebih bersifat terbuka dan ingin meluangkan masa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat."
Usaha ini juga membuka peluang kepada para relawan menimba kemahiran baru.
Sebagai permulaan, para relawan akan dapat menghadiri seminar dan bengkel latihan sebegini sekali setiap dua bulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.