Relawan belia rancang berbagai jenis permainan untuk warga emas MacPherson
Golongan warga emas dan belia berkumpul di MacPherson untuk mengambil bahagian dalam pelbagai permainan.
SINGAPURA: Golongan warga emas dan belia berkumpul di MacPherson untuk mengambil bahagian dalam pelbagai permainan.
Acara itu sebahagian daripada kegiatan Pusat CareElderly untuk mendekati warga emas yang berpendapatan rendah di kejiranan Merpati Road dekat kawasan tersebut.
Seramai 15 orang belia dari Persatuan Care Community Services (CCCS) memimpin aktiviti-aktiviti untuk 50 warga tua berusia antara 68 dengan 82 tahun, kebanyakan mereka adalah pengunjung tetap pusat kegiatan warga emas Merpati.
Salah seorang daripada mereka ialah Cik Hamidah Sulaiman, 66 tahun.
Apabila ditanya kelas mana yang biasanya beliau ambil bahagian, Cik Hamidah berkata: "Seni dan kraft tangan seperti menyusun bunga."
Inisiatif tersebut bagi menggalak warga emas untuk berinteraksi dengan para penduduk yang lain dan juga memperkasa para relawan muda.
Presiden Halimah Yacob turut menyertai inisiatif berkenaan pada Jumaat (22 Mac) dan berinteraksi dengan para belia demi mengetahui apa yang mendorong mereka untuk menjadi sukarelawan.
Bagi Lim Chao Wei, 14 tahun, beliau terdorong untuk menyumbangkan masa dan tenaga melakukan kerja-kerja sukarela kerana ingin mengisi masa cuti penggal sekolah dengan melakukan sesuatu yang bermakna.
Acara yang dianjurkan hari ini juga bertujuan untuk mempromosikan inisiatif baru CCCS, 'Community Silver Table Top'.
Inisiatif itu, yang akan dilancarkan secara rasminya pada bulan April ini, bagi menggalak warga emas bergaul antara satu sama lain menerusi pelbagai permainan papan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.