Skip to main content

Singapura

Relawan balik tabir diraikan sempena Tahun Baru; gereja & masjid ganding bahu bantu penduduk

Sepanjang tahun 2021, pelbagai agensi perkhidmatan sosial dan pertubuhan tidak meraih untung (NGO) di Clementi berganding bahu untuk menghulurkan bantuan serta menyebarkan keceriaan tatkala musim perayaan kepada para penduduk di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Relawan balik tabir diraikan sempena Tahun Baru; gereja & masjid ganding bahu bantu penduduk

Para relawan mengagihkan bungkusan berisi keperluan asas sempena musim perayaan. (Gambar: Pejabat Kawasan Undi Clementi)

SINGAPURA: Sepanjang tahun 2021, pelbagai agensi perkhidmatan sosial dan pertubuhan tidak meraih untung (NGO) di Clementi berganding bahu untuk menghulurkan bantuan serta menyebarkan keceriaan tatkala musim perayaan kepada para penduduk di sana.

Atas usaha murni mereka, wira-wira tidak didendang itu akan diraikan dalam satu acara perjumpaan maya sempena Tahun Baru 2022 pada Sabtu (1 Jan), menurut kenyataan media Pejabat Kawasan Undi Clementi pada Khamis (30 Dis).

Pandemik COVID-19 terus berlarutan dengan kemunculan varian baru, mewujudkan keadaan tidak menentu bagi masyarakat setempat, sekali gus rentetan perubahan yang datang bersamanya. Ini termasuk dari segi sekatan ke atas saiz perhimpunan yang kerap berubah-ubah mengikut keadaan semasa koronavirus.

Natijahnya, menjejas inisiatif vaksinasi di pelbagai kelab masyarakat serta balai rakyat yang mana saiz kumpulan relawan menguncup dari lima kepada dua orang dan akhirnya, mereka perlu lengkap divaksin sebelum dibenarkan turun padang.

Pelancaran skim pemulihan di rumah bagi pesakit COVID-19 juga menyebabkan segelintir penduduk 'terkurung' dan memerlukan bantuan untuk mendapatkan keperluan asas, khususnya mereka yang tinggal bersendirian, hidup sebatang kara atau kurang berdaya.

Namun, segala perubahan itu tidak mematahkan semangat para relawan yang terus menggembleng tenaga bagi membantu sesama penduduk di Clementi.

INISIATIF 'CLEMENTI CARE NETWORK'

Melalui pertubuhan tidak rasmi Clementi CARE Network, di bawah naungan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Clementi, para relawan itu mengorak inisiatif untuk menyokong penduduk menangani perubahan dan cabaran COVID-19.

Hasil kerjasama antara para pemimpin akar umbi daripada Pertubuhan Akar Umbi Clementi dengan agensi-agensi perkhidmatan sosial, para relawan daripada sekolah-sekolah berdekatan serta pertubuhan keagamaan di Clementi, lebih 4,000 bungkusan keperluan jagaan diri diagihkan kepada lebih 1,000 keluarga kurang berkemampuan.

Bungkusan tersebut, yang mengandungi makanan kering dan barangan keperluan harian, diagih-agihkan kepada para penerima bantuan tatkala perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan baru-baru ini, Krismas.

Sementara itu, relawan daripada Gereja Community of Praise Baptist Church dan Masjid Darussalam pula sama-sama mengedarkan peralatan elektrik kepada 57 keluarga terpilih melalui inisiatif muhibah "Grant a Wish", yang disokong oleh CDC Barat Daya.

Relawan itu berkunjung dari rumah ke rumah dalam kumpulan kecil untuk menyampaikan sendiri peralatan elektrik serba baru kepada para keluarga yang memerlukan perkakas tersebut.

clementi care network 2
(Gambar: Friends of Clementi/Facebook)


Golongan cilik juga tidak dilupakan. Seramai 120 kanak-kanak yang tinggal di Clementi berpeluang memilih sendiri mainan dan barangan keperluan sekolah yang didermakan oleh para anggota masyarakat menerusi insiatif “ToysShareUs”.

toysshareus
(Gambar: Friends of Clementi/Facebook)


Meskipun banyak mainan dan kelengkapan sekolah tersebut masih dalam keadaan baik - serta sudah dibersihkan dan siap dibungkus dalam plastik, ramai penyumbang turut membeikan yang baru untuk didermakan kepada inisiatif tersebut.

Ini adalah tahun kedua kedua-dua inisiatif “Grant a Wish” serta “ToysShareUs” dijalankan di Clementi dan ia cukup memberi makna kepada para penerima tatkala masa sukar lagi tidak terduga sekarang.

Sewaktu acara maya menerusi Zoom diadakan pada Tahun Baru nanti, para relawan yang sudah giat menghulurkan sokongan kepada para penduduk di Clementi akan disajikan dengan hiburan yang dipersembahan oleh sekolah-sekolah.

Selain berseronok melalui cabutan bertuah, ia juga masa untuk mereka mengimbas kembali perjalanan selama setahun dalam usaha membantu penduduk Clementi mengharungi cabaran serta perubahan yang didatangkan oleh COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita