Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rekod baru! Lukisan batik sepanjang 550 meter dicipta di Wisma Geylang Serai

Satu rekod baru lukisan batik paling panjang Singapura berjaya dicatatkan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Ahad (19 Jan). Berapa panjang? 550 meter saudara, atau lebih setengah kilometer!

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu rekod baru lukisan batik paling panjang Singapura berjaya dicatatkan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Ahad (19 Jan).

Berapa panjang? 550 meter saudara, atau lebih setengah kilometer!

Lukisan batik luar biasa itu kini diiktiraf dalam Buku Rekod Singapura, sempena sambutan ulang tahun pertama WGS.

LIBATKAN 1,500 ORANG LUKIS BATIK

Bak kata pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Itulah yang dicapai menerusi usaha pelbagai lapisan anggota masyarakat yang melukis batik secara beramai-ramai di WGS sejak Jumaat (17 Jan).

Antara mereka termasuklah Cik Hamidah Abdul Karim yang tampil sebagai sukarelawan projek masyarakat itu.

"Saya berminat untuk jadi sukarelawan sebab saya rasa masyarakat kita, bagi masyarakat Melayu suka untuk bergotong royong. Saya rasa kalau sokong antara satu sama lain dalam kesenian, kenapa tidak?" kata pengasas syarikat Debunga Pte Ltd itu.

Percubaan memecahkan Buku Rekod Singapura bagi lukisan batik terpanjang itu nampaknya bukan sahaja diusahakan orang-orang Melayu, tetapi juga peserta dari pelbagai bangsa dan agama.

Menurut pelajar bernama Elmer Eng Yu Haang dari Sekolah Tinggi Chung Cheng beliau berasa berbesar hati dapat ikut serta di dalam acara itu.

"Saya belajar banyak benda tentang lukisan batik. Ini adalah peluang keeemasan untuk saya sebagai bangsa Cina," kata Elmer dalam Bahasa Melayu semasa ditemui BERITAmediacorp.

Menurut pihak WGS, usaha memecahkan rekod itu bukan setakat berbilang bangsa, malah sebilangan pelancong seperti dari Eropah, Rusia dan Jerman turut sama meringankan tangan bagi projek itu.

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Natijahnya, hasil gotong-royong dan penat lelah sekitar 1,500 orang - meliputi orang ramai, WGS dan lebih 50 pertubuhan - terciptalah batik lukisan tangan sepanjang 550 meter.

Ia sekali gus memecahkan rekod sedia ada, iaitu lukisan batik sepanjang 300 meter yang dicatatkan dua tahun lalu.

Usaha ini anjuran bersama WGS dan Kamal Arts Ltd, yang juga penyewa baru di WGS.

"Mula-mula bila saya dijemput untuk membuat pecahkan rekod untuk acara sambutan ulang tahun di Wisma Geylang Serai, agak macam berat sebab rekod yang dulu rekod saya, kan.

"Tapi saya pecahkan rekod yang lama, saya rasa satu keputusan yang betul kerana di sini lebih sesuai," ujar Encik Kamal Dollah, pemilik Kamal Arts Ltd, mengenai kejayaan inisiatif tersebut.

Ukuran 550 meter bermakna, kain batik ini dapat mengelilingi lebih daripada satu pusingan larian trek di stadium.

Jadi, apakah yang akan dilakukan ke atas kain batik istimewa ini?

Pihak penganjur menjawab, kain batik ini akan digunakan bagi menghiasi Jalur Budaya Geylang Serai nanti, yang menganjur dari Tanjong Katong Complex hingga Kelab Masyarakat Kampong Ubi.

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat WGS, Dr Mohd Maliki Osman jelas tidak dapat menyembuyikan rasa "amat gembira sekali" dengan kejayaan pecah rkod itu.

"Rekod yang kami capai hari ini (19 Jan) melebihi apa yang kami sangkakan. Pada permulaannya kami ingat akan dapat memecahkan rekod 300 meter semalam (18 Jan) apabila Timbalan Perdana Menteri (Heng Swee Keat) datang beliau telah melihat kita telah dapat memecahkan 300 meter.

"Tapi selepas itu kami memberi sasaran 500 meter. Dengan sokongan masyarakat kita melihat bahawa kami berupaya untuk meneruskan projek ini dan langsung mencapai sasaran yang baru iaitu 550 meter," cerita Dr Maliki mengenai bagaimana perjalanan melukis batik terpanjang itu.

Dr Maliki menarik perhatian betapa antara yang datang menyingsing lengan untuk membantu melukis termasuklah "abang-abang motor kita" daripada kumpulan mat-mat motor, warga emas dan golongan yang berkerusi roda.

Ternyata, melanjutkannya kepada angka 550 turut mempunyai makna simboliknya yang tersendiri.

Menurut Dr Maliki, angka itu bersempena dengan ulang tahun Singapura yang ke-55 tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan