Rekaan tempat buang air kecil mesra pengguna Muslimin rangkul Anugerah Emas SG Mark
Rekaan tempat buang air kecil yang mesra pengguna Muslimin oleh syarikat Kohler meraih Anugerah Emas di Majlis Anugerah Rekaan Baik Singapura 2021 atau SG Mark.
SINGAPURA: Rekaan tempat buang air kecil yang mesra pengguna Muslimin oleh syarikat Kohler meraih Anugerah Emas di Majlis Anugerah Rekaan Baik Singapura 2021 atau SG Mark.
Antara ciri khusus pada rekaan tersebut termasuk penghadang bagi elak tempias air kencing dan paip untuk beristinjak.
Rekaan yang dinamakan 'Kohler Struktura Hygiene Urinal' ini bertujuan untuk memenuhi keperluan para Muslimin yang sekali gus membantu mereka beristinjak dengan lebih mudah.
KEPERLUAN MUSLIMIN DITITIKBERATKAN
Menyedari pentingnya untuk suci dari hadas kecil sebelum mengambil wuduk, syarikat Kohler bekerjasama dengan firma SomiaCX, Trigger Design, NextOfKin Creatives bagi mereka produk ini.
"Tujuan asal adalah kita mahu menjadikan pengalaman yang lebih baik buat semua. Kami menyelidiki dalam amalan berwuduk oleh Muslim kerana kami sedar ia kurang dititikberatkan. Jadi saya katakan ini dengan kaveat, ini sebenarnya satu nuansa budaya dan isu keagamaan tapi jika anda lihat dari segi konsep, menggunakan air bagi membersihkan alat kelamin adalah satu yang baik," kata Pengurus Rekaan Kohler, Encik Taiwoon Woon .
Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa syarikat Kohler sedang berbincang mengenai produk itu dengan beberapa pertubuhan Islam di Singapura termasuk masjid-masjid dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
'KOHLER STRUKTURA HYGIENE URINAL' UNTUK SEMUA
Walaupun bertujuan memenuhi keperluan pengguna Muslimin, rekaan itu juga boleh dimanfaatkan semua.
Bukan sahaja bantu menjimatkan air sebanyak 50 peratus, rekaan ini juga memberi privasi kepada pengguna.
Malah produk itu juga sudah mendapat permintaan dari negara-negara barat tetapi akan dipasarkan di Indonesia dahulu yang mempunyai jangkauan pengguna seramai 280 juta orang.
"Tujuannya selepas Indonesia, kami akan melancarkannya di rantau ini dalam negara-negara Muslim. Kami juga dapati di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, MMC lebih-lebih lagi syarikat teknologi, cuba untuk menjadi inklusif. Mereka juga mahu memasang produk-produk ini di pejabat mereka," ujar Encik Taiwoon lagi.
PERMINTAAN BAGI PRODUK KEBERSIHAN MENINGKAT
Menurut beliau disebabkan keadaan pandemik COVID-19 kini, semakin ramai yang lebih prihatin mengenai kebersihan.
Lantaran itu, permintaan bagi produk-produk kebersihan meningkat dengan amat ketara.
Oleh demikian, Kohler merancang untuk membangunkan kilang bagi menghasilkan produk itu di Indonesia supaya dapat mengurangkan masalah penghantaran serta memenuhi permintaan para pemaju dengan lebih mudah.
Menurutnya, proses menghasilkan produk rekaan itu bukan mudah, lebih-lebih lagi ia merupakan isu yang dianggap amat peribadi.
Selain itu, Kohler juga perlu membangunkan tapak ujian sendiri dengan menyewa sebuah hartanah.
Meskipun akur terdapat beberapa cabaran, ia merupakan pengalaman yang cukup bermakna baginya.
"Salah satu insiden yang tidak boleh saya lupakan adalah apabila seorang pemimpin agama yang menguji produk itu mengucapkan terima kasih dan memberitahu saya bahawa beliau tidak pernah rasa begitu dihormati sebelum ini," kongsi Encik Taiwoon.
84 PEMENANG DIIKTIRAF SG MARK
SG Mark mengiktiraf kualiti rekaan cemerlang yang meninggalkan kesan kepada perniagaan dan memperbaiki kualiti kehidupan berbilang masyarakat Singapura dan luar negara.
Di majlis yang diadakan secara maya hari ini (24 Sep), sebanyak 84 pemenang diiktiraf termasuk para penerima Anugerah Platinum dan Emas.
Pencalonan yang diterima tahun ini juga menyaksikan jumlah rekod sejak diperkenalkan pada 2013, dan peningkatan 30 peratus berbanding tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.