Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Regu puteri balas dendam, pesilat tunggal negara layak ke peringkat separuh akhir

Pasukan seni silat negara memulakan perjalanan dalam Sukan SEA edisi ke-32, sebahagian besarnya dengan rentak kemenangan.

Anggaran Waktu Membaca:

Sukan SEA 2023: Pasukan seni silat negara memulakan perjalanan dalam Sukan SEA edisi ke-32, sebahagian besarnya dengan rentak kemenangan.

Juara bertahan Muhammad Iqbal Abdul Rahman terus mengungguli acara seni tunggal lelaki selepas menewaskan pesilat dari Brunei Darussalam, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi.

Pesilat seni tunggal puteri, Siti Nazurah Muhd Yusoff juga mengalahkan lawannya dari Brunei Darussalam, Azimah Rosihan dalam peringkat suku akhir.

PESILAT TUNGGAL NEGARA MENANG SELESA, LANGKAH KE SEPARUH AKHIR 

Pesilat tunggal putera, Muhammad Iqbal Abdul Rahman melahirkan kesyukurannya selepas kemenangannya di peringkat suku akhir. 

“Saya sangat gembira dapat melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Iqbal. 
"

Iqbal menambah, "Secara keseluruhannya, saya cukup berpuas hati dengan prestasi saya tadi. Saya sebenarnya berasa gementar tetapi saya tahu saya boleh mengawalnya. Saya berharap dapat melakukan yang sama untuk pusingan seterusnya.”

Iqbal meraih 9.935 mata untuk pusingan suku akhir, dan akan beraksi pada Ahad (7 Mei) dalam peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, pesilat tunggal puteri, Siti Nazurah pula meraih 9.940 mata untuk peringkat suku akhir. 

Nazurah berkata, “Saya sangat gembira dan bersyukur dapat mara ke peringkat seterusnyatetapi saya tidak ingin berasa terlalu ghairah, saya ingin beri tumpuan untuk peringkat seterusnya.”

Mengenai pertunjukannya semasa pusingan suku akhir petang tadi (6 Mei), Nazurah berpuas hari dapat melakukannya meskipun rasa sedikit penat. 
"

“Semasa pertunjukan saya, saya terasa sedikit gementar, persembahan agak ‘goyang’. Untuk pusingan seterusnya, saya ingin melaksanakan setia langkah dengan penuh tenaga,” jelas Nazurah. 

Untuk pusingan separuh akhir, Nazurah akan menentang pesilat dari Indonesia. 

Seperti Iqbal, Nazurah juga akan beraksi dalam pusingan separuh akhir pada Ahad (7 Mei).

“Saya selalu membayangkan akan menentang seteru paling kuat saya, pesilat dari Indonesia. Saya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik,” ujar Nazurah. 

REGU WANITA BALAS DENDAM LAWAN PESILAT VIETNAM

Semasa peringkat separuh akhir bagi Sukan SEA ke-31 di Vietnam tahun lalu, pasukan silat regu wanita tuan rumah mengalahkan para pesilat wanita negara. 

Berbekalkan semangat membara, srikandi-srikandi negara bertekad mahu melakukan yang terbaik untuk merebut pingat emas dalam edisi Sukan SEA kali ini.

Secara kebetulan, pusingan suku akhir Sukan SEA kali ini menyaksikan pertarungan antara kedua-dua negara berlaku sekali lagi.

"

Walau bagaimanapun, para pesilat yang mewakili negara Vietnam agak baru dan bukan merupakan pasukan sama yang memenangi pingat emas di Sukan SEA edisi lalu.

Kali ini, pasukan srikandi negara yang merangkumi Amirah Sahrin, Iffah Batrisyia Noh dan Nur Ashikin Zulkifli berjaya menumpaskan pasukan dari Vietnam. 

Pasukan negara berjaya meraih 9.950, cukup untuk melangkah ke peringkat seterusnya. 

Para pesilat negara berkata, “Apa yang baik dalam persembahan kita tadi adalah kita sudah dapat menjangkakan suasana hangat di dalam dan luar gelanggang.”

“Kekurangan persembahan kami pula adalah ada beberapa langkah di mana gerakan kami tidak serasi dan kita mampu untuk melakukan lebih baik lagi."

Dengan kejayaan untuk mara ke peringkat seterusnya, srikandi negara turut berkata, “Kami sangat teruja dan yakin. Pusingan suku akhir meningkatkan moral kami dan kami berharap dapat melakukan lebih baik lagi untuk peringkat seterusnya.”

Tidak seperti pasukan regu wanita, skuad regu lelaki tidak berjaya untuk melangkah ke peringkat seterusnya. 

Pasukan regu itu yang merangkumi pesilat Muhammad Affiz Mohamed Zakri, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Nuhammadinil Mustafar Mohd Isa kalah di tangan pasukan dari Indonesia. 
"

Mereka berkata, "Kami sudah melakukan yang terbaik. Kita mungkin boleh memperbaiki dari aspek langkah-langkah kita yang tidak begitu tepat tadi.”

“Ini merupakan pengajaran untuk kita dan berharap untuk melakukan dengan lebih baik untuk pertandingan seterusnya.” 

Melangkah ke pertandingan selanjutnya, pasukan regu lelaki akan mengambil masa untuk meneliti kembali persembahan mereka. 

“Salah satu perkara yang jurulatih kami telah katakan untuk menunjukkan dengan lebih ketara langkah-langkah serangan kita dengan langkah-langkah ‘interval’.” 

“Kita akan memastikan kita ada minda lebih terbuka dan lakukan yang terbaik dan terus bekerja keras,” ujar pasukan regu lelaki negara.

Bagi yang mara ke peringkat seterusnya, mereka akan kembali beraksi esok (7 Mei) bermula jam 10.00 pagi waktu tempatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan