Skip to main content

Singapura

Rebut kuasa dalam Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Rebut kuasa dalam Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura
Petikan gambar Facebook Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau, Singapura
SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura telah memutuskan bahawa pemilihan 17 ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura (PTKS) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun 2024 adalah tidak sah dan terbatal.

Dalam dokumen Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 9 September lalu, Hakim Kristy Tan memutuskan bahawa 13 daripada pihak tertuduh tidak pernah diluluskan sebagai ahli sah PTKS mengikut perlembagaan persatuan itu.

Ia sekaligus menjadikan mereka tidak layak untuk mengundi atau bertanding dalam pemilihan tersebut.

LATAR BELAKANG KES

Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas sebelas orang ahli PTKS tidak berpuas hati dengan pemilihan jawatankuasa eksekutif baharu yang berlangsung semasa AGM pada 19 Oktober 2024.

Sebelas ahli PTKS itu diketuai oleh Amir Mohamed Nurussalaam Mohamed Lofti.

Mereka mendakwa bahawa pemilihan pihak tertuduh, iaitu seramai 17 individu, sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif PTKS 2024-2026, tidak dilakukan dengan betul dan tidak mengikut peraturan persatuan.

Dalam erti kata lain, mereka percaya bahawa keputusan pemilihan itu tidak sah dan mahu mahkamah membatalkan keputusan tersebut.

ISU UTAMA KES REBUT KUASA

Mahkamah meneliti lima isu utama termasuk proses pemilihan jawatankuasa eksekutif baharu bagi penggal 2024-2026.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Setiausaha Agung ketika itu, Amir, telah menyatakan hasrat untuk mengambil alih jawatan Presiden, dengan persetujuan Presiden sedia ada yang bercadang untuk bersara.

Amir kemudian membentuk satu pasukan dan mendapatkan sokongan Jawatankuasa PTKS, dengan syarat pasukannya perlu dibentangkan secara rasmi semasa AGM dan proses pemilihan.

Namun pada hari AGM, satu pasukan lain turut bertanding, diketuai oleh seorang ustaz bernama Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan daripada PTKS — yang menurut hujahan Amir, tidak dijangka dan tidak dimaklumkan lebih awal.

Amir tewas dalam pemilihan tersebut dan kemudiannya memfailkan bantahan di mahkamah, mempersoalkan sama ada proses pemilihan itu mematuhi perlembagaan pertubuhan dan prinsip keadilan prosedur.

Mahkamah kemudian mengarahkan satu pemilihan semula dijalankan.

BERITA Mediacorp difahamkan bahawa mesyuarat untuk memilih jawatankuasa itu sudah dijalankan.

Namun, Amir tidak hadir dan memfailkan lagi kepada mahkamah dan mendakwa bahawa pemilihan jawatankuasa kedua itu tidak patut diiktiraf.

BERITA Mediacorp telah menghubungi Pendaftaran Pertubuhan Manfaat Bersama di bawah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemilihan jawatankuasa kedua itu.

Namun, pihak MBO menyatakan tidak dapat memberi sebarang respons kerana kes masih berlangsung.

BERITA Mediacorp juga telah cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak PTKS.

CATATAN FACEBOOK PTKS

Dalam satu catatan Facebook PTKS yang bertarikh 22 Oktober 2025, terdapat beberapa kenyataan yang dibuat badan khairat itu.
Related article image
Petikan gambar dari Facebook Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapura (PTKS)
Ini termasuk "Ustaz Imran Khan Bukan Presiden Rasmi PTKS — Mahkamah Tinggi Sahkan!"

Beberapa catatan lain termasuk PTKS menafikan kepimpinan Ustaz Imran Khan dan menggantung semua urusan rasmi badan itu.

Catatan yang terakhir memaklumkan orang awam bahawa tiada kutipan yuran untuk sementara waktu sehingga pentadbiran baharu diumumkan.

APA ITU PTKS?

Dalam dokumen mahkamah, ia menyatakan bahawa PTKS adalah satu badan di bawah Akta Pertubuhan Saling Menguntungkan 1960.

Badan khairat itu menyediakan antara lain, khidmat pengebumian harga berpatutuan kepada para anggota berbayar dan orang awam secara keseluruhan.

Dokumen mahkamah juga menyatakan PTKS beroperasi di bawah "Undang-Undang Dan Peraturan-Peraturan Bagi Persekutuan Kebajikan Islam Telok Kurau Singapore” yang merangkumi bahagian Perlembagaan dan Undang-undang.

PTKS merupakan antara badan khairat paling lama di Singapura, ditubuhkan pada 1940.

Berdasarkan maklumat yang tertera di dalam laman badan khairat itu, terdapat kira-kira 18,000 anggota yang berdaftar setakat ini.

Ahli-ahli PTKS dapat meraih manfaat termasuk pemberian wang tunai kepada anggota keluarga, sekiranya ahli PTKS itu meninggal dunia.

Sebagai contoh, suami atau isteri ahli yang meninggal dunia akan menerima $1,000 manakala anak-anak mereka menerima S$350 setiap seorang.

Sejak tahun 2022, terdapat kira-kira 22 Pertubuhan Saling Menguntungkan Melayu/Islam (MMBO), yang lebih dikenali sebagai badan khairat kematian yang masih wujud di Singapura.

Jumlah itu merupakan penurunan ketara berbanding 124 organisasi aktif pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita