Rebat levi pekerja hijrahan, pengecualian bagi sesetengah majikan dilanjutkan hingga 2022
SINGAPURA: Rebat levi pekerja hijrahan dan pengecualian bagi sesetengah perniagaan dan majikan akan dilanjutkan sehingga tahun depan setelah mengambil kira usaha menangani pandemik COVID-19 dan keadaan kesihatan awam yang kian berubah-ubah.
Rebat levi pekerja hijrahan sebanyak S$250 untuk kesemua pemegang Permit Kerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan akan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (21 Dis).
Rebat levi tersebut sepatutnya tamat tempoh bulan ini.
Walaupun dengan kemasukan pekerja hijrahan dalam sektor-sektor berkenaan sudah meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sektor-sektor tersebut masih mengalami kekurangan tenaga kerja yang ketara dan lonjakan kos akibat keadaan pandemik yang kian berubah-ubah, menurut kenyataan kementerian tersebut.
Lanjutan kepada rebat yang dilancarkan pada tahun lalu itu diperkenalkan untuk membantu sektor-sektor tersebut mengharungi cabaran akibat pandemik dan ia dijangka membantu sekitar 15,000 firma.
"Para majikan boleh menimbangkan untuk menggunakan rebat levi pekerja hijrahan untuk mengekalkan tenaga kerja sedia ada dan juga untuk membawa masuk pemegang Permit Kerja dari negara atau wilayah berisiko rendah," menurut MOM lagi.
Pemerintah akan menyemak semula keadaan lebih dekat Mac tahun depan sebelum memutuskan sama ada ia perlu dilanjutkan sekali lagi.
MOM juga melanjutkan pengecualian levi pekerja hijrahan sehingga Disember 2022 untuk kesemua pekerja hijrahan, termasuk pembantu rumah hijrahan sepanjang tempoh mereka menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), ataupun kuarantin, selepas tiba di Singapura dan juga program persiapan di Pusat Persiapan Pekerja Hijrahan.
Pelanjutannya sepatutnya berakhir bulan ini.
Ia bagi membantu para majikan menampung kos yang berhubung kait dengan kawalan sempadan dan sekatan-sekatan COVID-19, menurut MOM.
Dengan pelanjutannya, para majikan tidak perlu membayar levi bagi tempoh SHN dan program persiapan bagi para pekerja hijrahan.
"Langkah-langkah seperti SHN dan program persiapan kekal penting untuk mengurangkan risiko kes-kes import COVID-19."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.