Rebat levi pekerja hijrahan dalam sektor binaan, limbungan kapal, pemprosesan dilanjutkan hingga Jun
SINGAPURA: Rebat levi pekerja hijrahan bagi pemegang Pas Kerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan (CMP) akan dilanjutkan untuk tiga bulan lagi dengan sebanyak S$250 diberikan setiap bulan pada April dan Mei manakala S$200 untuk bulan Jun tahun ini.
Rebat levi itu pada asalnya tamat akhir bulan ini.
Langkah itu disebabkan kekurangan tenaga kerja dan kenaikan kos perniagaan dek COVID-19, menurut
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan media pada Ahad (27 Mac).
Rebat levi itu diperkenalkan pada 2020 untuk membantu perniagaan mengekalkan keupayaan perusahaan yang terhambat dek pandemik.
Rebat levi yang lebih rendah bagi bulan Jun disebabkan "kemasukkan tenaga kerja yang semakin baik" bagi sektor CMP.
MOM dan MND menambah bahawa pihak berkuasa akan terus memantau keadaan sebelum Jun untuk memutuskan sama ada tempoh rebat itu perlu dilanjutkan lagi.
"Memandangkan rebat itu bertujuan memberi bantuan sementara, kami menggalakkan firma untuk terus meningkatkan daya penghasilan pada jangka panjang agar tidak bergantung pada tenaga kerja yang banyak, serta lebih berdaya tahan terhadap gangguan tenaga kerja pada masa hadapan," kata MOM dan MND.
Pemerintah juga memberi bantuan kepada sektor sekitaran binaan menerusi langkah-langkah lain termasuk bantuan kewangan melalui pakej bantuan binaan bernilai S$1.36 juta, serta sokongan tenaga kerja dan pelepasan melalui Akta COVID-19 (Langkah-langkah Sementara) (COTMA).
Peruntukan yang membolehkan kontraktor mendapatkan penilaian untuka menyesuaikan jumlah kontrak bagi menangani kenaikan kos gaji tenaga kerja hijrahan juga akan dilanjutkan hingga 30 Jun.
Ia melengkapi lanjutan kepada rebat levi pekerja hijrahan dan memberikan jaminan tambahan kepada firma dalam sektor sekitaran binaan, tambah MOM dan MND.
Pada Ogos tahun lalu, pemerintah memansuhkan tempoh minimum pekerjaan tiga tahun untuk pemegang Pas Kerja dalam sektor binaan dan dua tahun untuk sektor pemprosesan bagi pekerja yang datang dari negara seperti China dan Bangladesh supaya layak bagi pengecualian.
Langkah itu yang bertujuan menyokong kemasukan pekerja dan mengekalkan mereka, dijadual tamat bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.