Reaktor nuklear kecil boleh dilaksanakan Singapura; pengurusan sisa penting: pakar tenaga
Kemajuan teknologi nuklear, terutamanya reaktor padat, menjadikan tenaga nuklear pilihan yang lebih sesuai untuk Singapura yang kekurangan tanah berbanding sedekad lalu.

Gambar ini diambil pada 25 April 2024, menunjukkan loji nuklear dan bekasnya di dalam bangunan reaktor nuklear Flamanville 3 di barat laut Perancis, ketika loji tenaga nuklear Flamanville 3 sedia memulakan operasi. (Gambar fail: AFP/Lou Benoist)
Namun, untuk memanfaatkan sumber tenaga bersih yang berkuasa ini, persoalan berkenaan pengurusan sisa radioaktif dan penerimaan awam perlu diselesaikan terlebih dahulu, kata pemerhati kepada Mediacorp.
Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan dalam ucapan Belanjawan 2025 pada hari Selasa (18 Feb) bahawa Singapura akan mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear dan membangunkan keupayaan dalam bidang tersebut.
Pada 2012, kajian pra-kebolehlaksanaan pemerintah menyimpulkan bahawa tenaga nuklear tidak sesuai digunakan di Singapura berdasarkan teknologi yang ada pada ketika itu.
Sepuluh tahun kemudian, tenaga nuklear muncul dalam laporan pakar mengenai peralihan tenaga Singapura menjelang 2050 sebagai alternatif bersih yang boleh digabungkan dengan campuran bahan api setelah ia "matang dari segi teknologi dan berdaya maju dari segi ekonomi".
Tahun lalu, selepas mengumumkan rancangan untuk membina kumpulan yang terdiri daripada sekitar 100 pakar tenaga nuklear dalam jangka sederhana hingga panjang, Singapura menandatangani "Perjanjian 123" berkenaan kerjasama nuklear awam dengan Amerika.
Reaktor modular kecil (SMR) adalah inovasi utama yang memungkinkan perubahan pendirian ini, kata pakar tenaga kepada Mediacorp.
Padat dan boleh diskala, saiz SMR adalah lebih kecil berbanding reaktor nuklear konvensional, dan boleh siap dipasang terlebih dahulu untuk memudahkan pengangkutan dan pemasangan. Pengeluarannya adalah sekitar satu pertiga daripada kapasiti penjanaan reaktor konvensional, atau 300 megawatt setiap unit.
Ia juga lebih selamat, kata Encik Somnath Kansabanik, ketua di Rystad Energy.
"Reaktor Gen III dan IV, yang merupakan generasi baharu teknologi nuklear, mempunyai 'sistem keselamatan pasif' yang direka untuk mengurangkan risiko kemalangan dengan ketara," katanya.
SMR sudah digunakan di Rusia dan China. Amerika, Eropah dan Britain juga sedang mengejar projek SMR, dan syarikat seperti Meta, Google dan Amazon baru-baru ini mengumumkan pelaburan besar dalam teknologi nuklear, termasuk SMR.
Lebih dekat dengan Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand telah menyertai program "Infrastruktur Asas untuk Penggunaan Bertanggungjawab Teknologi Reaktor Modular Kecil" (FIRST) Amerika dan melancarkan kajian kebolehlaksanaan nuklear, kata Encik Kansabanik.
Teknologi SMR yang canggih berada di "titik peralihan ke arah berdaya maju secara komersil" dan adalah wajar untuk Singapura mempertimbangkannya semula, kata Encik Nick Ash, pemimpin perniagaan tenaga Asia Tenggara di Arup.
Tenaga nuklear boleh meningkatkan keselamatan tenaga Singapura dan menyokong matlamat negara untuk mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050, katanya.
Singapura masih bergantung kepada gas asli, bahan api fosil, untuk sekitar 95 peratus bekalan elektriknya, menjadikannya terdedah kepada turun naik harga dan gangguan rantaian bekalan.
Jika teknologi nuklear canggih boleh dilaksanakan, ia boleh menyumbang sehingga 10 peratus daripada bekalan elektrik negara menjelang 2050, kata Profesor Lee Poh Seng, pengarah eksekutif Institut Kajian Tenaga.
TANGANI SISA NUKLEAR
Walaupun tenaga nuklear menghasilkan kurang sisa berbanding pelbagai sumber tenaga lain, jenis sisa utama yang dihasilkan adalah bahan api nuklear yang sangat radioaktif dan boleh kekal berbahaya selama ribuan tahun. Pakar berkata ini adalah salah satu isu terbesar yang perlu ditangani oleh Singapura jika ia mahu menggunakan tenaga nuklear.
"Dengan tanah yang terhad dan keadaan geologi yang kurang sesuai, Singapura tidak mungkin dapat melupuskan sisa nuklear dalam sempadannya sendiri. Oleh itu, kerjasama dengan negara yang sudah mempunyai rancangan pelupusan sisa jangka panjang akan menjadi sangat penting," kata Encik Ash.
Beliau yang sedang bekerjasama dengan pemerintah Singapura untuk meneroka kemungkinan dan teknologi yang menyokong peralihan tenaga negara, Encik Ash menjelaskan bahawa reaktor kecil akan menghasilkan jumlah sisa yang lebih sedikit berbanding unit nuklear tradisional. Oleh itu, Singapura boleh bekerjasama dengan "rakan berpotensi" seperti Britain, Amerika, Perancis, Kanada dan Korea Selatan untuk melupuskan sisa nuklear dengan betul.
Namun, selagi belum ada perjanjian pelupusan sisa nuklear dengan negara lain atau belum wujud teknologi untuk menjana tenaga daripada pelakuran nuklear, persoalan tetap wujud, kata Profesor Madya sains politik Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura.
"Tiada negara yang menerima sisa nuklear dari negara lain," kata Profesor Madya Chong. "Sebuah loji tenaga nuklear dijangka mula menghasilkan sisa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun. Itu bukan tempoh yang lama."
Terdapat dua huraian pengurusan sisa yang boleh diteroka Singapura, menurut Encik Alvin Chew, zamil kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), yang menyatakan bahawa pengurusan sisa adalah "isu teknikal dan politik".
Huraian pertama adalah menyimpan sisa nuklear dalam loji simpanan, yang dikenali sebagai loji bahan api terpakai. Sisa ini akan disimpan selama kira-kira lima hingga 15 tahun sebelum dihantar ke negara lain untuk diekstrak plutoniumnya. Sisa yang tinggal selepas plutonium diekstrak akan diletakkan dalam bekas kering yang perlu disimpan di bawah tanah atas faktor keselamatan.
Huraian kedua, kata Encik Chew, adalah dengan menggali lubang sedalam 500 meter hingga 2 kilometer dan meletakkan sisa ke dalamnya sebelum ditutup semula.
Apabila ditanya sama ada Singapura mempunyai ruang untuk huraian tersebut, Encik Chew berkata ia "bukan satu masalah".
UBAH PEMIKIRAN "BUKAN DI TEMPAT SAYA"
Tentangan awam dijangka menjadi cabaran besar bagi pemerintah, menurut pakar. Ramai yang tidak akan bersetuju dengan idea untuk tinggal berhampiran loji nuklear.
"Sindrom ‘bukan di tempat saya’ bukan hanya wujud di Singapura, tetapi di mana-mana sahaja. Orang ramai menyukai tenaga nuklear, tetapi tidak mahu loji tenaga nuklear dibina dekat dengan tempat tinggal mereka," kata Encik Chew. "Pandangan terhadap nuklear sentiasa ada, anda tidak akan mendapat sokongan 100 peratus untuk membina loji berhampiran anda."
Namun, semua pakar yang bercakap dengan Mediacorp bersetuju bahawa pendidikan awam adalah kunci utama untuk mengubah pandangan tersebut.
Strategi ini telah berjaya di Perancis dan Kanada, di mana 70 peratus dan 15 peratus tenaga mereka masing-masing datang daripada nuklear, menurut laporan Persatuan Nuklear Dunia. Perancis kini mempunyai 57 reaktor yang beroperasi, manakala Kanada mempunyai 17.
"Penerimaan awam sangat penting untuk kejayaan pelaksanaan tenaga nuklear di Singapura," kata Prof Lee.
Beliau menjelaskan bahawa program pendidikan yang memberi penerangan kepada masyarakat tentang faedah tenaga nuklear serta protokol keselamatannya boleh "menghilangkan kekeliruan" mengenai teknologi itu dan mengurangkan salah tanggapan.
Encik Benjamin Chang, pemimpin tenaga dan kuasa Asia di Marsh McLennan, bersetuju dengan pandangan ini, sambil menekankan bahawa pelibatan dan pendidikan awam akan memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami bagaimana tenaga nuklear boleh menjadi pilihan yang murah dan mampu dimiliki tanpa mendedahkan negara kepada risiko geopolitik.
Bagaimanapun, Profesor Lee menegaskan bahawa ketelusan mengenai protokol keselamatan dan kesan terhadap alam sekitar adalah kritikal dalam membina kepercayaan masyarakat.
"Melibatkan masyarakat setempat dalam proses membuat keputusan dapat mewujudkan rasa kepemilikan dan mengurangkan kebimbangan," tambahnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa penerokaan pilihan seperti kemudahan di luar pesisir atau bawah tanah bukan sahaja dapat menangani kekurangan tanah dan kebimbangan keselamatan, tetapi menjadikan kehadiran loji nuklear kurang mengganggu.
Encik Chew menambah bahawa Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa sedang membangunkan garis panduan untuk loji tenaga nuklear yang beroperasi di luar pesisir.
"Jadi, sehingga garis panduan itu siap, kita tidak mempunyai pilihan untuk membangunkan loji tenaga nuklear terapung."
CAPAI "TARAF EMAS" DALAM TADBIR URUS NUKLEAR
Para pakar bersetuju bahawa mewujudkan rangka kerja kawal selia yang kukuh adalah penting bagi Singapura. Ini termasuk piawaian keselamatan yang ketat, strategi pengurusan sisa, kesiapsiagaan kecemasan dan penyelarasan dengan amalan terbaik global.
Dengan mempelajari amalan terbaik daripada Amerika, Perancis dan Korea Selatan, Singapura boleh membangunkan "model tadbir urus nuklear bertaraf emas", kata Encik Kansabanik dari Rystad.
Selain bekerjasama dengan negara lain dalam huraian pelupusan sisa, Singapura juga perlu berurusan dengan negara pembekal loji tenaga nuklear demi memastikan latihan yang betul, kata Encik Chew dari RSIS.
Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear Amerika secara meluas dianggap sebagai "standard emas" dalam pelesenan loji nuklear, dan Singapura boleh memanfaatkan kepakarannya, tambahnya.
"Saya menjangkakan Singapura akan bekerjasama dengan negara yang telah menandatangani perjanjian berkaitan tenaga nuklear dengannya, termasuk Amerika, Sweden dan UAE," kata Andrew Chin, pengarah kanan di FTI Consulting.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.