Skip to main content

Singapura

RCEP penggerak utama dagangan bebas, pemangkin pemulihan ekonomi global: PM Lee Hsien Loong

Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP),yang dimeterai hari ini (15 Nov) adalah satu "pencapaian besar" dan langkah ke depan bagi dunia.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2020 04:17PM Dikemas Kini : 15 Nov 2020 09:15PM

SINGAPURA: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP),yang dimeterai hari ini (15 Nov) adalah satu "pencapaian besar" dan langkah ke depan bagi dunia.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata perjanjian itu yang dimeterai 15 negara Asia Pasifik termasuk Singapura, menandakan komitmen bersama negara-negara anggota bagi sistem dagangan pelbagai hala dan semangat kerjasama dagangan lebih bebas.

"Kami mencapai kemajuan besar dengan termeterainya perjanjian ini. Ia adalah kemuncak rundingan selama lapan tahun, membabitkan 46 pusingan rundingan dan 19 mesyuarat menteri. Saya amat berbesar hati atas segala usaha tanpa lelah daripada pihak menteri dan perunding dari semua negara yang mengambil bahagian, yang berusaha bersungguh-sungguh semasa proses itu.

"RCEP adalah satu langkah ke depan yang penting bagi dunia, di tengah-tengah dagangan pelbagai hala yang semakin kurang diamalkan dan pertumbuhan ekonomi global yang kian melemah," kata Encik Lee.

Masanya kini untuk melaksanakan dan menggalak perniagaan untuk memanfaatkan sepenuhnya hasil perjanjian tersebut, tambahnya berucap pada Sidang puncak RCEP ke-4 secara maya hari ini.

RCEP pertama kali disarankan pada 2012, melibatkan 10 ekonomi ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

Negara-negara itu merangkumi hampir 30 peratus penduduk dunia dan menyumbang kepada 29 peratus hasil keluaran dalam negara kasar (GDP) dunia.

Perjanjian itu akan secara bertahap-tahap mengurangkan tarif dalam pelbagai bidang pada tahun-tahun akan datang.

Perjanjian itu yang melalui rundingan sukar dan mencabar sebelum dimuktamadkan, juga merangkumi perkongsian maklumat dan mempertingkatkan langkah ketelusan untuk memudahkan perniagaan dan pelaburan dalam kawasan RCEP.

India menarik diri dari rundingan itu tahun lalu, kerana bimbang penghapusan tarif akan membuka pasarannya kepada banjiran barangan import yang boleh mengancam pengeluar tempatan. Negara-negara anggota lain menyatakan sokongan berterusan dan mengalu-alukan penyertaan New Delhi dalam perjanjian itu pada masa depan.

Semua negara harus mengesahkan perjanjian RCEP itu dalam tempoh dua tahun sebelum ia menjadi berkesan.

Majlis pemeteraian secara maya itu diadakan sempena Sidang Puncak ASEAN ke-37.

Sidang selama empat hari itu termasuk mesyuarat antara pemimin Asia Tenggara dengan rakan sejawat mereka dari China, Jepun, Korea Selatan dalam Sidang Puncak ASEAN Campur Tiga, serta sidang Puncak Asia Timur dan Sidang Puncak RCEP.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita