RCEP mesti dilaksana sepenuhnya, kekal terbuka bagi capai potensinya: PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 yang diadakan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 27 Okt 2025. (Foto: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital)
Bercakap semasa Sidang Puncak RCEP ke-5 yang diadakan sempena Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, Encik Wong menekankan peri penting kerjasama ekonomi serantau pada masa-masa tidak menentu ini.
“Dalam sekitaran yang tidak menentu ini, adalah lebih penting sekarang ini untuk ekonomi kita bersatu, bagi menunjukkan bahawa perdagangan bebas boleh membawa manfaat kepada rakyat dan mewujudkan kemakmuran bersama untuk rantau kita,” katanya.
RCEP, yang mula berkuat kuasa pada 2022, merupakan perkumpulan perdagangan terbesar di dunia. Ahlinya terdiri daripada 10 negara ASEAN, serta China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.
Dengan sistem perdagangan berbilang hala berasaskan peraturan kini menghadapi tekanan, RCEP “mengekalkan janji bahawa negara-negara boleh mencapai lebih banyak kejayaan bersama berbanding bersendirian,” kata PM Wong.
Perjanjian itu membawa “manfaat sebenar”, seperti pengurangan tarif dan penyelarasan peraturan perdagangan, tambahnya.
“Dengan melakukan ini, RCEP menghantar isyarat yang sangat jelas dan penting bahawa kita mempunyai kepentingan bersama dalam pembangunan masing-masing, bahawa kita komited kepada perdagangan berasaskan peraturan … dan yang paling penting, bahawa kita komited untuk mengekalkan (Pertubuhan Perdagangan Dunia) sebagai teras sistem perdagangan berbilang hala kita,” kata Encik Wong.
Beliau menegaskan bahawa Singapura amat komited terhadap RCEP dan menggariskan tiga keutamaan untuk memaksimumkan impak perjanjian perdagangan tersebut.
Pertama, negara anggota perlu memastikan “pelaksanaan penuh dan berkesan” perjanjian itu dengan terus menangani isu-isu yang belum mencapai kata sepakat semasa rundingan, seperti perbezaan tarif - di mana barangan yang sama dikenakan kadar tarif berbeza apabila diimport dari negara berbeza.
Encik Wong berkata, sesetengah perniagaan menyatakan isu ini menghambat daripada memanfaatkan RCEP sepenuhnya, dan ia perlu diselesaikan dengan segera bersama isu-isu lain yang masih tertangguh.
Kedua, beliau menyeru agar RCEP kekal terbuka dan bersedia untuk diperluas, termasuk dengan kemasukan ekonomi baharu selagi mereka memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan.
Ketiga, negara anggota perlu terus menambah baik perjanjian tersebut, kata Encik Wong, sambil bersetuju dengan pandangan pemimpin lain mengenai keperluan untuk komitmen perkhidmatan yang lebih bercita-cita tinggi serta peraturan baharu yang meliputi bidang baharu seperti ekonomi hijau dan digital.
“Singapura mengalu-alukan kerjasama dengan negara peserta untuk menyemak semula RCEP pada 2027, seperti yang termaktub dalam perjanjian, supaya kita dapat terus meningkatkan dan mengukuhkan RCEP,” katanya.
Awal dari itu, pada Sidang Puncak ASEAN Campur Tiga pada Isnin - yang merangkumi negara anggota ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan - Encik Wong turut menekankan peri penting kerjasama serantau.
Sebagai contoh, beliau menyorot usaha ASEAN dalam memajukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital bagi mengukuhkan kerjasama digital serantau.
Usaha ini membuka peluang kepada China, Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai “keupayaan canggih” untuk turut serta dalam pertumbuhan sektor ini.
Beliau turut menambah bahawa lebih banyak boleh dilakukan dalam bidang kewangan hijau dan tenaga bersih, seiring dengan pembangunan rangkaian tenaga elektrik serantau ASEAN.
Encik Wong juga menyeru agar integrasi ekonomi dipercepatkan serta mekanisme dan jaringan keselamatan serantau diperkukuhkan, seperti Inisiatif Berbilang Hala Chiang Mai bagi kestabilan kewangan dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN Campur Tiga bagi meningkatkan keupayaan amaran awal.
Setakat ini, mekanisme ASEAN Campur Tiga memberikan “manfaat nyata”, termasuk pengukuhan jaringan keselamatan serantau, rantaian bekalan yang lebih kukuh serta keselamatan kesihatan yang lebih baik, kata PM Wong.
“Agenda positif dan rekod pencapaian ini meletakkan kita pada kedudukan yang baik untuk mengharungi sekitaran global yang semakin tidak menentu dan mencabar,” tambahnya
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.