Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rayuan remaja kes bunuh pelajar Sekolah Tinggi River Valley ditolak

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan remaja kes bunuh pelajar Sekolah Tinggi River Valley ditolak

Jambangan bunga di luar Sekolah Tinggi River Valley. (Gambar: Tan Si Hui/CNA)

SINGAPURA: Rayuan seorang remaja yang dikenakan hukuman penjara 16 tahun kerana membunuh rakan sekolahnya dengan kapak di Sekolah Tinggi River Valley ditolak pada Rabu (23 Okt).

Remaja itu, yang berusia 19 tahun pada tahun ini dan tidak boleh didedahkan namanya kerana dia berusia 16 tahun ketika melakukan pembunuhan itu, mengusulkan hukuman penjara lapan hingga 10 tahun.

Dia menyerang Ethan Hun Zhe Kai, 13 tahun, di dalam tandas sekolah pada 19 Julai 2021 dalam kes jenayah yang belum pernah berlaku sebelum ini yang menggemparkan seluruh negara.

Ethan merupakan sasaran rambang dan diserang dari belakang selepas pembunuhnya memasang pelekat untuk menghalang orang lain daripada memasuki tandas tersebut.

Dia kemudian menghubungi polis selepas itu dan berkata: "Saya baru sahaja membunuh seseorang. Menggunakan kapak. Saya tidak kenal dia. Adakah anda akan mengerahkan pegawai atau tidak?"

Pembunuhan itu adalah sebahagian daripada apa yang disifatkan oleh hakim sebagai "perancangan jahat" untuk membunuh lebih daripada satu orang supaya polis tiada pilihan kecuali menembaknya sehingga mati.

KEADAAN MENTAL

Remaja itu pada awalnya dikenakan tuduhan membunuh tetapi dipinda kepada tuduhan membunuh tanpa niat selepas Institut Kesihatan Mental (IMH) menilai bahawa dia mengalami gangguan kemurungan teruk pada waktu itu.

Gangguan itu kemudian menjejas keupayaannya untuk mengetahui sama ada tindakannya itu salah dan atas sebab itu hukuman terhadapnya dipinda.

Menurut perbicaraan sebelum ini, dia pernah dirawat di IMH, dan mencuba membunuh diri dua kali, termasuk pada usia 14 tahun.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara 12 hingga 16 tahun, manakala peguam bela memohon lima tahun.

Menurut laporan IMH, remaja itu berupaya mengawal tindakannya dan memahami bahawa apa yang dilakukannya adalah salah dari segi moral dan undang-undang, meskipun dia mengalami kemurungan.

Hakim yang menjatuhkan hukuman menarik perhatian bahawa dia "sengaja memutuskan untuk membunuh di sekolah" kerana dia percaya ada peluang lebih tinggi di sekolah untuk membunuh seseorang sebelum diberkas berbanding di tempat awam.

Hakim Hoo Sheau Peng, yang menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas pesalah, berkata dia "menunjukkan tahap perancangan dan logik yang menakutkan" semasa merancang dan mempersiapkan diri bagi pembunuhan itu.

Dia memilih senjata, mengujinya dan menajamkannya serta belajar bagaimana untuk menetak mangsa supaya mencapai kesan maksimum dengan menonton video.

Dia juga memiliki gambar-gambar pelan lantai sekolah di telefon bimbitnya, memilih tandas sebagai lokasi kerana ia jauh dari bilik darjah, dan menyembunyikan senjata itu terlebih dahulu.

"Seluruh perancangannya berdasarkan kesedaran bahawa apa yang dia rancang untuk lakukan akan sangat dahsyat dan mengerikan sehingga ia akan membawa kepada respons ditembak oleh penguat kuasa undang-undang," kata Hakim Hoo semasa menyampaikan keputusannya.

Semasa mengemukakan rayuan, Encik Sunil Sudheesan dan Cik Joyce Khoo dari Quahe Woo & Palmer berhujah bahawa tempoh 16 tahun itu berat untuk seorang pesalah muda.

Mereka menumpukan hujah mereka kepada nilai-nilai pengurangan hukuman berdasarkan keadaan mental anak guam mereka, rawatannya sejak insiden itu dan kekesalan mendalam yang dizahirkan dalam sepucuk surat kepada keluarga Ethan.

Tempat untuk dapatkan bantuan:

Samaritans of Singapore: 1767

Institut Kesihatan Mental (IMH): 6389 2222

Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Anda juga boleh dapatkan senarai talian bantuan antarabangsa di sini. Jika seseorang yang anda kenali berdepan risiko, hubungi khidmat perubatan kecemasan 24 jam.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan