Rayuan Pritam Singh terhadap sabitan bohong kepada jawatankuasa parlimen ditetapkan 4 Nov
Rayuan Pritam Singh terhadap sabitan dan hukuman ke atas dirinya kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen ditetapkan untuk dibicarakan pada 4 November ini.
Ketua Pembangkang dan ketua Parti Pekerja Pritam Singh bercakap kepada media di luar Mahkamah Negara pada 17 Feb 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Ketua Pembangkang itu yang memimpin Parti Pekerja didenda S$14,000 pada Februari lalu kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen berkenaan menyuruh bekas anggota WP Raeesah Khan supaya berterus terang mengenai kisah yang beliau kongsi di parlimen.
Ia adalah denda maksimum sebanyak S$7,000 setiap tuduhan bagi dua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Encik Pritam pada ketika itu berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap kedua-dua hukuman dan sabitan yang dikenakan ke atasnya.
Beliau diwakili oleh peguam Andre Jumabhoy dan pasukannya.
Firma guaman yang dinamakan sempena Encik Jumabhoy mengesahkan tarikh perbicaraan itu kepada Mediacorp pada Rabu.
Seorang jurucakap enggan mendedahkan sama ada pasukan itu memohon pembebasan atau untuk menyatakan jumlah denda yang diminta bagi kes beliau.
Encik Pritam disabit kesalahan selepas perbicaraan yang berlangsung selama empat bulan.
Hakim mendapati Encik Pritam "sengaja" berbohong dan tidak mahu Cik Raeesah, yang dahulu seorang anggota parlimen, berterus terang mengenai keterangan palsu di mana beliau katakan bahawa beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis.
Encik Pritam dituduh memberi keterangan palsu kepada Jawatankuasa Hak Istimewa pada 10 Disember dan 15 Disember 2021.
Hakim menerima keterangan Cik Raeesah mengenai apa yang berlaku pada 8 Ogos 2021, apabila beliau bertemu dengan Encik Pritam dan pemimpin parti kanan Sylvia Lim dan Muhamad Faisal Abdul Manap.
Pihak pendakwa memohon denda maksimum S$7,000 manakala Encik Jumabhoy memohon denda S$4,000 bagi setiap tuduhan yang dikenakan terhadap Encik Pritam.
Hukuman bagi tuduhan yang dihadapi Encik Pritam adalah hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga S$7,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.