Rayuan Pritam Singh: Peguam bela berhujah hakim 'abaikan' bukti penting dalam sabitan Ketua WP
Encik Pritam, 49 tahun, mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya - denda sebanyak S$14,000 - yang berpunca daripada cara beliau menangani pembohongan yang dilakukan oleh mantan anggota partinya, Raeesah Khan.
Namun, Hakim Steven Chong tidak bersetuju dengan sebilangan hujah yang dikemukakan oleh peguam Encik Pritam, Encik Andre Jumabhoy, dan berkali-kali menyoal beliau tentang perkara-perkara yang dikemukakannya selama kira-kira dua setengah jam pada pagi Selasa (4 Nov).
Cik Raeesah berbohong di parlimen pada 3 Ogos 2021, yang mengatakan bahawa beliau menemani seorang mangsa kes rogol ke balai polis, di mana pihak polis dikatakan membuat kenyataan yang tidak menyenangkan tentang mangsa tersebut.
Apabila disoal mengenainya di parlimen oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Cik Raeesah mengulangi pembohongannya.
Beliau mengakui bahawa apa yang dikatakannya adalah palsu dalam kenyataannya di parlimen pada 1 November 2021, dan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen kemudian menyarankan agar Encik Pritam dan mantan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Faisal Manap dirujuk kepada pendakwa raya untuk siasatan lanjut.
Encik Faisal diberikan makluman polis tetapi tidak didakwa. Encik Pritam pula dikenakan dua tuduhan, yang dicabarnya dalam perbicaraan yang mendapat liputan meluas.
HUJAH-HUJAH
Pada Selasa (4 Nov), Hakim Chong memulakan prosiding dengan mengarahkan Encik Jumabhoy untuk menjelaskan dua kenyataan utama yang membawa kepada dapatan hakim perbicaraan itu.
Ini merujuk kepada: Dakwaan Cik Raeesah bahawa Encik Pritam telah memberitahunya semasa pertemuan pada 8 Ogos 2021, bahawa pembohongan itu adalah sesuatu yang mereka perlu "teruskan hingga bawa ke kubur”, dan apa yang dimaksudkan oleh Encik Pritam apabila beliau memberitahu Cik Raeesah, "saya tidak akan menghakimi anda".
Encik Jumabhoy berkata Cik Raeesah telah memberikan tiga versi penjelasan mengenai kenyataan "teruskan hingga bawa ke kubur", tetapi beliau tidak konsisten.
Sehubungan itu, Hakim Chong berkata, memandangkan Cik Raeesah tidak menggunakan "teruskan hingga bawa ke kubur" secara konsisten dalam ketiga-tiga versinya tidak bermakna ia tidak diungkapkan.
MENGAPA PRITAM TIDAK LAKUKAN APA-APA?
Hakim Chong kemudian menyoal Encik Jumabhoy tentang tingkah laku Encik Pritam sepanjang tempoh antara 8 Ogos 2021 dan 3 Oktober 2021. Ini selepas pemimpin Parti Pekerja (WP) itu bertemu Cik Raeesah pada 8 Ogos 2021, dan sebelum Encik Pritam bertemu Cik Raeesah lagi pada 3 Oktober 2021.
"Saya rasa dalam hujah anda, anda telah menekankan bahawa pembohongan ini sebenarnya adalah satu perkara yang agak serius, berat," kata Hakim Chong.
"Dan seseorang akan menjangkakan, bahawa jika keputusan dibuat pada 8 Ogos bahawa anda harus bertanggungjawab, atau pada suatu masa anda perlu berterus terang, adalah dijangkakan bahawa langkah-langkah akan diambil dalam merangka apa yang perlu dikatakan, bila untuk mengatakannya dan dalam wadah apakah pembohongan itu harus dijelaskan.
"Tetapi apa yang saya dapati luar biasa adalah terdapat persetujuan bahawa tiada sebarang tindakan diambil sepanjang tempoh lapan minggu penting itu."
Beliau berkata ia adalah bukti dikemukakan Encik Pritam bahawa "tidak banyak yang perlu disediakan" kerana semua yang perlu dilakukan adalah untuk menetapkan pada 4 Oktober 2021, apabila Parlimen bersidang dan mengatakan kenyataan itu adalah satu pembohongan.
Dalam responsnya terhadap jawapan Encik Jumabhoy, Hakim berkata beliau boleh menerima bahawa Encik Pritam bersikap sensitif, memandangkan terdapat konteks bahawa Cik Raeesah sendiri adalah mangsa serangan seksual.
Encik Jumabhoy kemudian menjelaskan bahawa pembohongan Cik Raeesah bukanlah satu-satunya perkara dalam agenda Encik Pritam ketika itu - beliau mempunyai perkara lain yang "juga mendesak jika tidak lebih daripada itu", dan bahkan, Cik Raeesah tidak menghadiri Parlimen dalam tempoh itu kerana beliau mengalami kayap ular.
Beliau berkata bahawa meskipun Encik Pritam merasakan beliau harus memberi Cik Raeesah sedikit ruang, sepanjang tempoh tersebut, namun tiada perbincangan dengan pemimpin parti yang lain.
MAHU RAEESAH MENDEDAHKAN KEPADA IBU BAPANYA
Hakim Chong juga mempersoalkan peguam bela mengenai hujahnya bahawa pendirian Encik Pritam selepas mesyuarat pada 8 Ogos adalah untuk Cik Raeesah bercakap dengan ibu bapanya mengenai serangan seksual yang dialaminya, dan itulah sebabnya beliau tidak melakukan apa-apa sepanjang tempoh tersebut sehingga 3 Oktober 2021.
Beliau menunjukkan bahawa, apabila keputusan akhirnya dibuat untuk Cik Raeesah berterus terang, Encik Pritam tidak tahu sama ada Cik Raeesah telah bercakap dengan ibu bapanya.
"SAYA TIDAK AKAN MENGHAKIMI ANDA"
Mengenai "saya tidak akan menghakimi anda", yang diungkapkan Encik Pritam kepada Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021, sehari sebelum Parlimen bersidang semula dan sehari sebelum beliau mengulangi pembohongannya, Hakim Chong berkata frasa itu "bukanlah sesuatu frasa yang unik".
Beliau berkata ini bukan ungkapan yang jarang diperkatakan.
"Biasanya, anda akan berkata 'Saya tidak akan menghakimi anda' dalam konteks di mana seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak betul," jelas Hakim Chong.
"Tetapi jika anda tidak mahu melakukan perkara yang betul, saya tidak akan menghakimi anda. Maka itu, pelik untuk berkata - saya tidak akan menghakimi anda, dalam konteks di mana orang itu akan melakukan perkara yang betul."
Hakim kemudian bertanya Encik Jumabhoy jika beliau mendapati Encik Pritam memang memberitahu Cik Raeesah untuk membawa pembohongan itu ke kubur, maka bukankah secara logik frasa "Saya tidak akan menghakimi anda", dalam konteks itu, hanya boleh bermaksud "Saya tidak akan menghakimi anda jika anda terus mengekalkan naratif itu".
Pada ketika itu, peguam bela terdiam seketika sebelum menerima bahawa penjelasan itu adalah sesuatu yang munasabah atau masuk akal.
Perbicaraan tersebut bersambung pada tengah hari Selasa dengan pihak pendakwa membentangkan hujah mereka.
Hukuman bagi kesalahan memberikan kenyataan palsu dengan sengaja di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), di bawah Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa), adalah hukuman penjara maksimum tiga tahun, didenda sehingga S$7,000, atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.