Skip to main content

Singapura

Rayuan guna MediSave melebihi had dinilai berdasarkan kes: MOH

Rayuan bagi penggunaan tambahan MediSave melebihi had pengeluaran sedia ada, iaitu S$300, akan dinilai berdasarkan setiap kes.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Sep 2025 09:04PM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 11:42AM
SINGAPURA: Rayuan bagi penggunaan tambahan MediSave melebihi had pengeluaran sedia ada, iaitu S$300, akan dinilai berdasarkan setiap kes.

Pada Jumaat (26 Sep), Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam menjawab soalan-soalan di parlimen tentang sama ada proses permohonan tersebut akan dijadikan lebih fleksibel.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) juga meluahkan kebimbangan bagi pihak penduduk warga emas yang memerlukan perubatan lebih mendesak.

"Saya tertanya-tanya sama ada pihak kementerian bersedia untuk melaksanakan sedikit kelonggaran untuk memastikan sebilangan warga emas ini boleh dibenarkan menggunakan lebih banyak simpanan Medisave mereka," kata ketua pembangkang Pritam Singh.

Menjawab soalan tersebut, Cik Rahayu berkata: "Kami ada mengambil pendekatan kes demi kes mengikut situasi, bergantung kepada usia, dan terdapat juga pertimbangan atas belas ihsan terutamanya jika individu itu di penghujung hayatnya.

"Ada juga keadaan di mana lebih banyak budi bicara dan kelonggaran diberikan tetapi kami benar-benar perlu melihat keadaan, rawatan itu sendiri, kosnya serta baki dalam MediSave."

Sementara itu, AP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh, Elysa Chen pula bertanya mengenai purata masa yang diperlukan untuk memproses permohonan individu yang melebihi had pengeluaran Medisave, dan sama ada bantuan sementara tersedia bagi golongan pesakit yag mempunyai keperluan perubatan yang mendesak.

Sebagai jawapan kepada pertanyaan tersebut, Cik Rahayu berkata: "Dalam institusi jagaan kesihatan, keutamaan diberikan untuk menyediakan rawatan seperti yang diperlukan.

"Jadi tiada pesakit yang akan berada dalam keadaan di mana mereka tidak akan dapat menerima rawatan yang mereka perlukan, jika ia nyata secara perubatan, oleh kerana keadaan kewangan mereka."
Sumber : CNA/FZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita