Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rayuan amah terhadap sabitan bunuh majikan ditolak

Mahkamah Rayuan hari ini (31 Mac) menolak rayuan seorang pembantu rumah terhadap sabitan pembunuhan, di mana dia menikam majikannya hampir 100 kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan amah terhadap sabitan bunuh majikan ditolak

Daryati, 26 tahun, sedang merayu terhadap tuduhan membunuh majikannya, Seow Kim Choo yang berusia 59 tahun. (Gambar: Xabryna Kek)

SINGAPORE: Mahkamah Rayuan hari ini (31 Mac) menolak rayuan seorang pembantu rumah terhadap sabitan pembunuhan, di mana dia menikam majikannya hampir 100 kali.

Warga Indonesia Daryati, 29 tahun, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada April 2021.

Dia menuntut perbicaraan dan disabit satu tuduhan mengelar Seow Kim Choo, 59 tahun, beberapa kali dengan niat untuk mencederakannya menerusi cara yang cukup untuk menyebabkan kematian.

Tuduhan kedua, iaitu percubaan untuk membunuh suami Cik Seow, tatkala lelaki itu cuba untuk menolong isterinya, dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Pembunuhan itu berlaku pada Jun 2016, dua bulan selepas Daryati mula bekerja untuk Cik Seow dan keluarganya.

Hari ini, peguam bela Leon Koh - yang memberi khidmat secara percuma - meneruskan pembelaan terhadap tanggungjawab yang berkurangan dan berhujah agar Daryati disabitkan atas tuduhan membunuh tanpa niat iaitu satu tuduhan lebih ringan.

Sewaktu menyampaikan penghakiman bagi pihak sebuah panel tiga hakim, Hakim Andrew Phang berkata rayuan itu bergantung secara khususnya kepada sama ada Daryati mengalami gangguan kemurungan berterusan dengan gangguan kemurungan sekali-sekala ketika kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, berdasarkan bukti daripada seorang ahli psikiatrik, Hakim Phang mendapati Daryati tidak memenuhi kriteria diagnostik bagi gangguan-gangguan tersebut. Sebahagian besarnya kerana dia tidak mengalami gejala klinikal kekurangan fungsi.

Beliau merujuk kepada bukti yang dinyatakan oleh Daryati sendiri sewaktu perbicaraan bahawa dia boleh menguruskan skop kerjanya dan menyelesaikan kerja-kerja rumah yang diberikan setiap hari tanpa kesilapan.

Hakim itu juga menarik perhatian kepada "tahap perancangan yang terperinci" oleh Daryati sebelum melancarkan serangan itu ke atas majikannya, lantas menunjukkan keupayaannya untuk berfikir jauh dan dengan jelas mewajarkan tindakannya.

Ini termasuk melukiskan satu peta rumah itu, meminta bantuan daripada seorang lagi pembantu lain yang digajikan keluarga tersebut dan memilih "kesempatan paling tepat" untuk menyerang.

Selain itu, tiada juga bukti kekurangan fungsi sebelum Daryati tiba dari Indonesia. Dia boleh menamatkan sekolah tinggi, bekerja di sebuah kilang dan menjalinkan hubungan dengan orang lain, kata Hakim Phang.

Satu laporan psikiatrik daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati Daryati mengalami gangguan penyesuaian selama dua minggu sebelum pembunuhan itu berlaku.

Dia disabit kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300c Kanun Jenayah yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak meminta hukuman mati.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan