Raymond Ng diisytihar litigan menyusahkan; sekatan tindakan undang-undang dikenakan terhadap Iris Koh
Mahkamah Tinggi pada Selasa (4 Ogos) mengisytiharkan ahli perniagaan Raymond Ng sebagai pihak litigan yang menyusahkan dan mengenakan sekatan tindakan undang-undang terhadap isterinya Iris Koh.
Raymond Ng Kai Hoe dan isterinya Iris Koh tiba di Mahkamah Agung pada 15 Julai 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Langkah tersebut akan mengehadkan keupayaan pasangan itu untuk memulakan tindakan undang-undang sivil.
Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum ini memohon supaya pasangan tersebut diisytiharkan sebagai litigan menyusahkan, dengan menyatakan mereka menggunakan tindakan undang-undang secara berlebihan dan meraih keuntungan daripadanya.
Perintah terhadap Ng bermakna dia tidak boleh memulakan sebarang prosiding sivil tanpa kebenaran Mahkamah Tinggi.
Semua prosiding yang sudah dimulakannya juga tidak boleh diteruskan tanpa kebenaran mahkamah.
Bagi Koh, pengasas kumpulan antivaksin Healing the Divide, mahkamah mengenakan perintah sekatan sivil umum yang lebih ringan berbanding perintah terhadap suaminya.
Perintah itu berkuat kuasa selama dua tahun dan boleh dilanjutkan.
Koh tidak boleh memulakan sebarang tindakan atau permohonan sivil tanpa kebenaran Mahkamah Tinggi, namun beliau boleh meneruskan tindakan atau permohonan sivil yang sedang berjalan.
NG MULAKAN PROSIDING TANPA ALASAN MUNASABAH
Dalam penghakimannya, Hakim Hoo Sheau Peng mendapati Ng memulakan empat tindakan utama dan tujuh permohonan tanpa sebarang alasan munasabah.
Ini termasuk permohonan semakan kehakiman terhadap Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berhubung cara vaksin COVID-19 diiklankan serta tindakan saman fitnah terhadap mantan Anggota Parlimen Dilantik Calvin Cheng.
Hakim Hoo mendapati terdapat petunjuk bahawa Ng memulakan beberapa prosiding bagi tujuan sampingan, termasuk selepas beliau menggambarkan kemungkinan tindakan undang-undang sebagai sumber pendapatan.
Beliau juga berpotensi meraih keuntungan daripada publisiti bagi platform GetEven.AI, yang mengenakan bayaran S$1,000 kepada individu untuk menggunakan platform itu bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak lain.
Ng turut meminta sumbangan orang ramai dan mempromosikan satu skim tajaan di TikTok yang membolehkan individu "menaja" tindakan undang-undangnya dan mendapatkan pulangan.
Hakim Hoo turut mendapati terdapat kemungkinan Ng berniat untuk mengganggu pihak lawannya menerusi tindakan undang-undang tersebut.
Menurut beliau, Ng menunjukkan corak jelas memulakan prosiding undang-undang meskipun beberapa tindakannya sebelum ini sudah dibatalkan atau ditolak kerana tiada merit.
Mahkamah mendapati Ng secara berulang dan berterusan memulakan prosiding undang-undang yang menyusahkan tanpa alasan munasabah.
IRIS KOH TIDAK DIISYTIHAR LITIGAN MENYUSAHKAN
Bagi Koh pula, Hakim Hoo mendapati beliau memulakan dua tindakan utama dan tujuh permohonan tanpa alasan munasabah, kebanyakannya berkaitan tindakan terhadap HSA dan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Berdasarkan video yang dimuat naik Koh berhubung tindakan terhadap HSA dan publisiti yang cuba dijananya, Hakim Hoo mendapati tindakan itu antara lain bertujuan untuk mengganggu dan memalukan pihak lawan.
Namun, mahkamah mendapati syarat untuk mengisytiharkan Koh sebagai litigan menyusahkan tidak dipenuhi kerana tidak dapat dibuktikan bahawa beliau secara berulang memulakan prosiding undang-undang sedemikian.
Sebaliknya, mahkamah mengenakan perintah sekatan sivil umum terhadapnya.
Hakim Hoo berkata perintah terhadap pasangan tersebut akan membantu mencegah penyalahgunaan proses mahkamah.
Namun, mereka masih boleh mendapatkan penyelesaian undang-undang bagi aduan yang sah, dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran mahkamah.
Secara berasingan, Ng sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah menipu, manakala Koh juga sedang dibicarakan atas pertuduhan berasingan berkaitan vaksin COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.