Skip to main content

Singapura

Raya yang tidak lagi suram dengan kerja ubah suai rumah percuma Projek Home Aid

Anggaran Waktu Membaca:
Raya yang tidak lagi suram dengan kerja ubah suai rumah percuma Projek Home Aid
Dua keluarga memerlukan yang menghuni flat sewa dua bilik di Jalan Bukit Merah menerima pembaharuan kediaman menerusi Projek Home Aid anjuran Global Ehsan Relief (GER) bersama TAQWA. (Gambar: Global Ehsan Relief)
Diterbitkan : 01 Mar 2026 11:29PM
SINGAPURA: Di sebuah flat sewa dua bilik di Blok 117 Jalan Bukit Merah, suasana yang dahulunya sempit dan suram kini terasa berbeza.

Jika sebelum ini dindingnya dipenuhi contengan dan kesan lama yang tidak sempat diperbaiki, menjelang Syawal kali ini ia dicat semula dengan warna yang lebih cerah.

Pendawaian lama yang pernah menjadi kebimbangan sudah diganti.

Kipas baharu terpasang kemas di siling dan perabot lama yang uzur telah digantikan dengan yang lebih baharu dan selesa.

Rumah yang didiami Cik Nur Suhaila Salim sekeluarga itu antara dua kediaman sewa di kawasan itu yang menjalani kerja-kerja pembaharuan.

Dalam tempoh dua hari, hampir 30 sukarelawan TAQWA bersama 12 hingga 15 pakar ubah elok daripada Your Reno Works berganding bahu menjayakan projek Home Aid anjuran badan kemanusiaan, Global Ehsan Relief (GER) dengan kerjasama TAQWA.

Bagi Cik Suhaila, 27 tahun, perubahan itu membawa makna yang berbeza buatnya.

Rumah kecil itu dihuni beliau bersama ibu bapa, enam orang adik dengan salah seorang mempunyai autisme, dan seorang anak saudara.

Setiap malam, mereka akan susun tempat tidur dalam ruang yang terhad.

Tilam-tilam nipis dibentangkan rapat-rapat di ruang tamu untuk ibu bapa dan empat adik lelakinya, manakala bilik kecil itu hanya mampu menempatkan tiga gadis serta anak saudaranya.

Tiada siapa benar-benar mempunyai ruang sendiri.

Sebagai anak sulung, Cik Suhaila bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B) untuk bantu menampung perbelanjaan keluarga.
 
Related article image
Cik Nur Suhaila Salim, 27 tahun, bersyukur atas bantuan badan-badan yang memperbaharui kediamannya menjelang Aidilfitri. (Gambar: Berita Mediacorp)
Ruang yang terhad dan keperluan yang banyak sering membuatkan sambutan Hari Raya diraikan sekadar ala kadar.

“Tahun ini berbeza. Saya sangat bersyukur dan gembira. Suasana untuk Hari Raya tahun ini 2026 berbeza dengan tahun lepas sebab tahun ni ada orang yang membantu keluarga saya mengecat, mengemop, menyapu, mengubah suai rumah ini. Perabot-perabot lama semua dah buang, digantikan dengan yang baharu.”
Related article image
Kediaman Cik Nur Suhaila Salim di Blok 117 Jalan Bukit Merah kini tampil dengan wajah baharu. Antara pembaharuan yang dilakukan termasuk penggantian pendawaian lama, pemasangan kipas, pengecatan semula serta penyediaan perabot baharu. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
Kata-kata itu diiringi senyuman yang bercampur sebak, bukan hanya kerana rumah yang lebih kemas tetapi kerana rasa dihargai.

“Saya bersyukur ada persatuan yang sudi membantu kami. Mereka baru sahaja menyiapkan kerja-kerja di rumah ini. Mereka juga memberikan kami almari, bantal serta perkakas dapur. Terima kasih sangat-sangat. Saya benar-benar bersyukur," zahir beliau.

Bertentangan Blok 117 ialah Blok 116, kediaman milik seorang lagi penerima bantuan GER, Encik Yusri Abdul Hamid, 59 tahun.
Related article image
Encik Yusri Abdul Hamid, 59 tahun, merupakan seorang penerima bantuan Global Ehsan Relief (GER). Kediamannya di Blok 116 turut menjalani kerja ubah suai. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)
DAH LAMA TAK BERAYA, BANTUAN DATANG BAGAIKAN MIMPI

Bantuan ini hadir selepas bertahun-tahun berdepan kesempitan hidup dan kesihatan yang merosot.

Bekas pekerja PSA itu tidak lagi mampu bekerja akibat masalah kesihatan pada kaki kirinya, menjadikan isterinya, Cik Haslina Hashim, 50 tahun, satu-satunya pencari nafkah keluarga dan bekerja sebagai pegawai keselamatan.

Dengan pendapatan yang terhad, beliau mengakui sudah lama tidak benar-benar meraikan Aidilfitri seperti dahulu.

“Bila peluang sebegini datang, rasa macam terkejut… macam ini betul ke tak betul?” ujarnya.

Ia seolah-olah bagai mimpi.

Namun apabila segalanya menjadi kenyataan, beliau akui rasa terharu yang sukar diterjemahkan.

"Selama berbelas tahun tak pernah beraya, tahu-tahu kali ini meriah betul begini. Susah nak diungkapkan. Memang jujur cakap, susah nak ungkapkan sebab anak-beranak sendiri pun tahu, kita tak pernah beraya," ujar beliau yang tinggal bersama isteri dan lapan orang anaknya, salah seorang daripada mengalami Sindrom Down tahap sederhana.

Lebih $5,000 berjaya dikumpulkan bagi membiayai kerja-kerja baik pulih termasuk penggantian pendawaian, pengecatan semula dan penyediaan perabot baharu.

Projek ini merupakan tahun kedua kolaborasi antara GER dan TAQWA.

Tahun lalu, dua kediaman di Yishun turut diubahsuai menerusi inisiatif yang sama.

Selain itu, GER juga memberi bantuan lebih luas bagi penduduk di kawasan Jalan Membina.

Sebuah Bazar Amal dianjurkan di Blok 118 Jalan Membina menghimpunkan kedua-dua keluarga ini bersama sekitar 300 keluarga lain untuk mendapatkan juadah iftar secara percuma.
Related article image
Sekitar 300 keluarga penerima manfaat Global Ehsan Relief (GER) mendapatkan juadah iftar secara percuma di Bazar Amal yang diadakan di Blok 118 Jalan Membina pada 27 Februari. Bazar tersebut merupakan antara inisiatif GER dalam menyokong penduduk di kawasan Jalan Membina pada Ramadan. (Gambar: Global Ehsan Relief)
Mereka boleh memilih apa jua juadah pilihan yang mereka suka seperti berbelanja di bazar Ramadan bagi berbuka puasa.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita