Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rawatan terapi kuda naik antara 30-300% sejak 5 tahun lalu, menurut 3 penyedia khidmat

Rawatan terapi menggunakan kuda untuk golongan keperluan khas seperti Sindrom Down, palsi serebrum, autisme dan kemurungan - bertambah antara 30 hingga 300 peratus sejak lima tahun lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rawatan terapi menggunakan kuda untuk golongan keperluan khas seperti Sindrom Down, palsi serebrum, autisme dan kemurungan - bertambah antara 30 hingga 300 peratus sejak lima tahun lalu.

Demikian menurut tiga penyedia khidmat terapi kuda yang BERITAmediacorp hubungi.

Namun demikian, tanpa tajaan atau subsidi, terapi tersebut cukup mahal dan tidak terjangkau oleh golongan berkeperluan khas dari keluarga berpendapatan rendah.

KEBERKESANAN TERAPI KUDA

Sejak setahun lalu, Alaynaa Isabella Chia 6 tahun menunggang kuda di Healing Horses sebagai rawatan terapi. Terapi Kuda atau 'Equine Assisted Therapy' itu adalah sejenis rawatan yang menggunakan aktiviti berkaitan kuda demi meningkatkan fisikal, mental dan emosi.

Cik Mashurny bersama anaknya, Alaynaa. (Gambar: Mashurny Herniaty)

Bagi Alaynaa rawatan tersebut meningkatkan imbangan tubuh dan mengurangkan kekejangan otot-otot tubuhnya.

Menurut ibunya Cik Mashurny Herniaty, 41 tahun, terdapat perubahan yang " amat ketara" semenjak anak sulungnya itu menghadiri sesi terapi tersebut.

"Dulu dia tidak boleh duduk tanpa sokongan. Jadi bila saya pegang dia, dia akan jatuh. Jadi bila dia dah naik kuda ini. Dia punya tengah tu stabil sikit, so bila kita lepaskannya. Sekarang dia boleh duduk selama sekitar seminit tanpa sokongan," kongsi Cik Mashurny kepada BERITAmediacorp.

KANAK-KANAK AUTISME MULA CAKAP SELEPAS TERAPI KUDA

Pengasas yang juga pengarah program Healing Horses, Cik Chithra Rogers menyatakan, ramai kanak-kanak autisme mula bercakap buat pertama kalinya - bukan kepada ibu bapa mereka, tetapi kepada kuda - selepas menjalani terapi ini.

(Gambar: Healing Horses)

"Malah seorang ibu menangis. Itulah perkataan pertama yang beliau dengar (dari anaknya). Kami memberi mereka perkataan pendek untuk diguna bagi menyuruh kuda itu bergerak. Itu juga bertujuan menggalak pertuturan.

"Dan kanak-kanak itu sepatutnya berkata 'horse go' (ayuh kuda). Hanya dua perkataan. Kanak-kanak itu akan berkata demikian. Jadi itulah cara mendorongnya bercakap," ujar Cik Chithra.

RAWATAN TERAPI KUDA SEMAKIN POPULAR

Maka tidak hairanlah, permintaan bagi khidmat itu menjulang sejak lima tahun lalu. Healing Horses menyaksikan peningkatan 30 peratus manakala Riding for the Disabled Singapore (RDA) menyaksikan khidmatnya naik 70 peratus dalam tempoh tersebut.

(Gambar: Theris)

Sebuah lagi syarikat Theris pula menyaksikan permintaannya menjulang 300 peratus sejak empat tahun lalu.

Menurut anggota Jawatankuasa RDA Cik Wanda Wang, jumlah pemohon yang dalam senarai menunggu juga banyak. Mujur, pihaknya berjaya mengurangkan tempoh kemasukan dari purata enam hingga sembilan bulan, kepada antara tiga hingga enam bulan.

Tambah Cik Wang lagi, pihaknya menawarkan program terapi itu kepada sekolah-sekolah pendidikan khas dan Pertubuhan Kebajikan Sukarela.

Namun demikian, terapi Equine ini cukup mahal dan boleh mencecah sehingga S$210 bagi setiap sesi 45 minit.

TERAPI KUDA MAHAL; HARAP LEBIH SOKONGAN DIBERI

Bagi Cik Mashurny dan suaminya, mereka sudah berhabis sehingga S$8,000 bagi terapi ini sejak setahun lalu.

(Gambar: Mashurny)

Walaupun datang dari keluarga berpendapatan pertengahan, terapi ini masih dianggapnya mahal. Jadi apa lagi bagi keluarga berpendapatan rendah yang mahu mencubanya.

Lantaran ini, beliau amat berharap lebih banyak sokongan bagi jenis terapi kuda ini diberikan.

"Saya harap, kanak-kanak istimewa macam dia dapat lebih subsidi. Bukan kita nak percuma ke apa tetapi kami perlukan lebih banyak bantuan. Lebih banyak subsidi akan menggalak kami untuk memberi lebih banyak pilihan seperti terapi percakapan, fisio, terapi pekerjaan. Semua mahal," luah Cik Mashurny.

USAHA MENAWARKAN TERAPI KUDA KEPADA LEBIH RAMAI INDIVIDU

Sebagai seseorang yang amat menggemari kuda dan menyayangi kanak-kanak, Cik Chithra berazam untuk menawarkan lebih peluang bagi kanak-kanak istimewa menjalani sesi terapi tersebut.

"Saya melakukan yang terbaik untuk memberikan kadar lebih murah bagi keluarga berpendapatan rendah dan juga sesi percuma bagi ibu tunggal yang mempunyai kanak-kanak istimewa.

"Saya berharap lebih banyak pertubuhan boleh membantu ibu-ibu tunggal dengan kanak-kanak istimewa. Mereka memerlukan banyak sokongan," tambah Cik Chithra.

Pakar terapi Equine dari THERIS, Dr Ameerah Mattar turut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa pihaknya juga bekerjasama dengan Bukit Timah Saddle Club untuk membiayai para individu dari keluarga memerlukan agar dapat menjalani terapi kuda tersebut.

(Gambar: Theris)

"Sejauh ini kami hanya ada segelintir klien Melayu. Hanya dua. Majoriti klien kami datang daripada golongan ekspatriat tapi sejak kebelakangan ini, kami ada lebih rakyat Singapura yang menghadiri sesi terapi kita," kata Dr Ameera.

Yang pasti, dengan kos terapi seperti ini yang cukup tinggi, ia tidak dimampui golongan berpendapatan rendah kecuali menerusi tajaan penderma.

Mentelah lagi, bagi rawatan terapi seperti ini, menghadiri sesi-sesi secara "konsisten adalah sangat penting", menurut Cik Chithra.

Hanya dengan menjalani terapi secara konsistenlah, kemajuan anak-anak berkeperluan khas akan dapat disaksikan sebagaimana pengalaman Cik Mashurny.

Hakikatnya, lebih banyak sesi bermakna lebih banyak perbelanjaan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa